Sunday, February 15, 2009

Apakah Penyembuh Kekalutan Kita?



http://drmaza.com/home

Banyak email yang dihantar kepada saya mengadu betapa tenatnya perasaan melihat apa yang sedang bergolak dalam negara kita. Ada yang kata dia sesak nafas memikirkan hal umat Islam di negara kita. Ada yang menyatakan dia sudah malas nak fikir lagi. Ada yang kata dia rasa tertipu dengan sikap para pemimpin politik yang dia sokong. Ada yang bertanya penyelesaian dan berbagai lagi.


Jika kita ada penyakit, kita tidak patut mengubati apa yang kita nampak sahaja. Kita perlu ubati akar atau punca penyakit tersebut. Jika tidak, ia akan menyerang semula. Mengetahui punca asal penyakitnya, jika pun kita tidak dapat menyelesaikannya akan menjadikan kita sentiasa beringat di masa hadapan, atau memboleh kita mengingati generasi yang akan datang bahawa ‘Mencegah Lebih Baik Dari Mengubati’.


Kekusutan yang berlaku pada hari ini, apakah ia baru bermula semalam, atau sudah bertahun lamanya? Barah yang kelihatan boleh membunuh pada hari ini, apakah baru muncul ketika doktor berjaya mengesannya, atau sudah bertahun lamanya? Banyak penyakit itu gagal diubati disebabkan hanya pada sangat akhir ketika sudah benar-benar nazak, baru datang berjumpa perawat. Bukan tidak boleh, tetapi penyelesaian yang lengkap akan sukar untuk diperolehi.


Ya, banyak perkara dalam hidup kita, Islam hanyalah dirujuk ketika saat gawat. Ini seperti mereka yang berumahtangga, Islam mencadangkan pakej yang lengkap bermula dari ciri-ciri dalam memilih pasangan, mudahnya urusan perkahwinan, kehidupan dengan disiplin agama, tanggungjawab suami, isteri dan anak-anak, hukum-hakam nusyuz sehinggalah kepada bab talak apabila ternyata rumahtangga tidak lagi membawa kebaikan.


Malang sekali bagi pasangan muslim jika hanya merujuk kepada hukum Islam ketika ketika hendak bernikah dan hendak talak sahaja. Sepanjang perjalanan rumahtangga; bermula dari masa memilih pasangan, hukum-hakam syarak dalam rumah tangga, tanggungjawab mendidik anak isteri dengan ajaran Islam dan berbagai lagi tidak pernah dipedulikan. Hanya bertanya: “Apakah penyelesaian segera Islam bagi rumahtangga saya yang tidak aman?”. Bagaimanakah dia inginkan penyelesaian segera, sedangkan dia telah biarkan barah itu merebak sekian lamanya?


Masalah politik dalam negara kita juga sama. Ia tidak bermula pada krisis semalam, atau kelmarin. Namun ia bermula dari prinsip, tingkah laku dan perjalanan yang sudah berusia tua. Apakah sistem politik yang kita anut selama ini benar-benar diletakkan atas prinsip Islam? Kita juga patut bertanya; bilakah politik permusuhan dan kebencian secara meruncing itu disemai? Apakah puncanya, sehingga ‘ukhuwwah’ parti, melebihi ukhuwwah Islamiyyah yang diajar oleh Allah dan RasulNya. Permusuhan politik di peringkat kampung sehingga ke bandar sering memperlihatkan kerakusan kuasa dan ketaksuban parti yang kedua-duanya adalah menyanggahi prinsip Islam yang kudus.


Seterusnya, hilangnya kepercayaan kepada orang-orang politik, bermula bila? Saya secara peribadi melihat ramai pemimpin politik berjawatan dalam negara kita ini sombong lagak dan tingkahnya. Lebih buruk lagi, apabila ‘kerja-kerja salah’ mereka menjadi bahan perbualan umum. Sehingga hilangnya kepercayaan rakyat itu, bukan kepada mereka, ter‘mangsa’ sistem-sistem lain termasuk mahkamah dan polis.


Parti pemerintah bukan tidak boleh diubati, tetapi perlu ada kesungguhan dalam membuang segala unsur barah yang bersarang ditubuhnya sekalipun barah itu berupa orang besar. Jika tidak, generasi baru akan terus prajudis yang tiada hentinya.


Dalam banyak keadaan, manusia hilang prinsip dalam politik. Perkara yang diharamkan semalam, mungkin dihalalkan hari ini. Lompat parti umpamanya, haram dan halalnya pada orang politik parti berdasarkan untung rugi politik kepartian. Sistem Beraja juga demikian, apabila ia menguntungkan, ia disanjung, apabila sebaliknya ia dikeji. Begitu juga politik wang, halal dan haramnya diukur berdasarkan siapa yang beri?


Berkawan dengan ‘parti kafir’ juga serupa, kufur dan islamnya bukan diukur dengan dasar yang dipegang, tetapi siapa yang mereka berkawan? Jika kita berdasarkan prinsip dari awal, kita sentiasa akan istiqamah dalam memutus semua perkara berdasarkan prinsip. Kita akan bertanya; dari segi prinsip ‘apakah melompat parti itu memenuhi akhlak mulia yang diajar oleh Islam? Apakah wang yang mengikis ketelusan itu diizinkan oleh syarak? Apakah Sistem Beraja atau segala adat-istiadat Beraja itu diajar oleh Islam sedemian rupa? Banyak lagi perkara yang boleh dibangkitkan. Jika benar hendak menilai, kita mesti menilainya dengan bebas dan hanya bergantung kepada Allah.


Saya dukacita melihat kadang-kala pertelingkahan politik telah mengikis akhlak dan nilaian Islam dalam jiwa kita. Dalam dunia internet, maki-hamun, carut-marut dan sumpah-seranah menjadi mainan dan hiasan para penyokong aliran-aliran politik. Lebih mendukacitakan, apabila perbuatan keji seperti itu menggunakan nama Islam. Tercemarlah kemuliaan agama ini atas kegelojohan berpolitik.


Saya membaca komen-komen penyokong parti tertentu mengenai kenyataan Mufti Perak Dato Seri Harussani Zakaria yang melarang rakyat menentang keputusan Sultan Perak. Komen-komen itu penuh dengan carutan dan makian yang tidak tergamak untuk kita baca. Ya, bagi saya sendiri banyak pandangan dan pendapat Mufti Perak berkenaan yang saya kurang setuju. Namun, memaki hamun dan mencarut kepada seseorang yang ada sumbangannya yang tersendiri bukanlah akhlak yang diajar oleh Islam.


Malangnya, saya juga pernah melihat rakaman seorang pemimpin politik di Pahang yang membuat isyarat lucah ketika kempen pilihanraya. Demikianlah, perangai orang atasan menjadi contoh buruk kepada rakyat bawahan. Dalam hadis al-Imam al-Bukhari daripada Anas bin Malik r.a. katanya:

“Bukanlah Nabi s.a.w itu seorang pemaki orang, tidak juga seorang pengucap kekejian dan bukan seorang pelaknat orang lain”.


Melihat kepada masalah-masalah yang seperti ini, membawa kita insaf bahawa ada dua perkara yang memerlukan perubahan dalam negara kita. Pertama; melihat semula segala dasar dan sistem yang dipakai dalam negara ini; sejauh manakah itu semua memenuhi prinsip-prinsip yang ditegaskan oleh Allah dan rasulNya.


Kedua; kembali mentarbiah kaum muslimin; pemimpin dan rakyat agar berdisiplin dalam prinsip, amalan dan akhlak selaras dengan ajaran Allah dan rasulNya. Maksudnya hendaklah dilakukan penegakan Islam di peringkat dasar dan penghayatan. Dengan syarat, tafsiran Islam itu mestilah atas keikhlasan dan ilmu yang bebas dari kepentingan parti dan politik tertentu.


Saya menyeru kepada para pejuang perubahan, semoga apa yang berlaku menginsafkan kita, betapa kita perlukan Islam yang tulen yang merdeka dari kepentingan puak, adat, bangsa, parti dan seumpamanya. Hanya kembali kepada Allah dan rasulNya. Inilah perkara yang pernah disebut oleh al-Syeikh Nasir al-Din al-Albani r.h:

“Bilamana menjadi sesuatu yang putus bahawa “Sesungguhnya al-Din di sisi Allah ialah Islam”, maka sesungguhnya tidak mungkin dapat difahami apa yang dikehendaki Allah melainkan dengan perantaraan RasululLah. Sesungguhnya tiada jalan kita sampai kepada baginda melainkan melalui pengetahuan mengenai sunnah baginda. Pula tiada jalan kepada sunnah baginda melainkan dengan ilmu hadis. Justeru itu menjadi kewajipan ke atas kaum muslimin, samada pemerintah atau rakyat, pendakwah atau yang didakwah, beriman bersama kita bahawa tiada jalan terlaksananya apa yang kita seru kepadanya iaitu perlaksanaan keadilan dan keamanan, menegakkan hukum Allah di atas muka bumi kecuali dengan berdakwah kepada sunnah dan mengamalkannya, juga mentarbiah kaum muslimin dengannya. Bukan dengan hukum-hakam dunia, undang-undang ciptaan manusia, pandangan-pandangan individu dan pegangan-pegangan kepartian. Itu semua menjadikan umat semakin berpecah dan jauh dari matlamat yang dituju” (Al-Albani, Sahih al-Adab al-Mufrad m.s. 8-9 Saudi: Dar al-Sadiq)

Tahniah!Menghiburkan!


Tahniah!Menghiburkan!

Semalam saya ke klang dengan teman-teman sekuliah. Nak tengok Upin-Ipin the movie katanya.

Sangat menghiburkan! Satu ucapan tahniah patut diberi pada staf-staf produksi yang dapat menghasilkan buah tangan berkualiti dengan bajet rendah. Siapa kata kita tidak mampu?

Umum sedia maklum bahawa kartun bukan hanya untuk kanak-kanak tetapi ini satu medium yang sesuai dalam melontarkan kritikan-kritikan dan teguran sosial yang berkesan.

Seusai menonton, kami ke gerai mamak untuk mee goreng dan capati!!

Tuesday, February 10, 2009

Apabila Zina Lebih Mudah Daripada Kahwin

by DrMaza

Antara peruntuh nilai-nilai baik dalam kehidupan manusia hari ini adalah apabila dimudahkan yang haram dan disukarkan yang halal. Sedangkan Islam menyuruh kita membentuk suasana atau iklim kehidupan yang menyukarkan yang haram dan memudah yang halal. Itulah tanggungjawab pemerintah dan umat iaitu menegak yang makruf dan mencegah yang munkar.


Menegak yang makruf itu adalah dengan cara menyuruh, memudah dan membantu ke arah tersebut. Sementara mencegah yang munkar adalah dengan cara menghalang, melarang dan menyukarkan jalan untuk sampai kepadanya. Namun, jika masyarakat hari ini menyusahkan yang halal dan menyenangkan yang haram, tanda kita begitu menjauhi ruh syariat islam yang hakiki yang diturunkan oleh Allah s.w.t.


Antara perkara yang selalu disusahkan adalah urusan perkahwinan. Kesusahan membina rumahtangga itu kadang-kala bermula dari keluarga sehingga ‘ketidak fahaman’ tok kadi dan seterusnya pengurusan pejabat agama dan mahkamah syariah. Kerenah-keranah yang berbagai telah memangsakan hasrat pasangan untuk mendapat ‘nikmat seks’ secara halal. Lebih menyedihkan apabila kerenah-keranah itu wujud disebabkan kepentingan-kepentingan luar yang bukan kepentingan pasangan secara langsung.


Umpamanya, urusan kenduri kahwin atau walimah telah dijadikan jambatan kesombongan ibubapa atau keluarga sehingga ditangguh perkahwinan bagi memboleh kenduri besar-besaran dibuat demi menjaga taraf ‘jenama keluarga’. Sehingga ada pasangan yang terpaksa menunggu bertahun kerananya.


Apatah jika keluarga membebankan semua belanja kepada bakal pengantin. Maka bakal pengantin terpaksa mengikat ‘nafsu seks’ hanya kerana hendak menjaga nafsu menunjuk-nunjuk keluarga. Walaupun kenduri kahwin itu disuruh, namun memadailah dengan kadar yang termampu. Tidak semestinya ‘ditumbangkan’ seekor lembu, atau dipanggil orang sekampung atau sebandar, atau dijemput semua rakan taulan.


Seseorang mengadakannya dengan kadar kemampuannya, seperti sabda Nabi s.a.w:

“Buatlah walimah walaupun sekadar seekor kambing” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).


Dalam ertikata lain, jika hanya mampu kenduri laksa, atau bihun atau mee pun tidak mengapa, asalkan diadakan walimah. Apa yang penting perkahwinan yang halal telah dilunaskan. Janganlah macam orang dulu apabila anaknya sebut ingin berkahwin, bapanya akan bertanya; “kau dah ada lembu ke nak buat kenduri?”. Maka bertangguhlah hasrat si anak. Padahal bukan anaknya ingin berkahwin dengan lembu, dia ingin berkahwin dengan kekasihnya.


Sepatutnya si bapa bertanya: “kau dah ada pasangan ke?”. Itulah soalan yang betul. Lembu tidak termasuk dalam rukun nikah. Apa yang lebih buruk apabila ada pihak yang menjadikan medan walimah sebagai pentas menunjuk-nunjuk kekayaan harta lalu hanya dijemput orang yang ‘berjenama’ dan ditinggalkan saudara-mara, kawan-rakan, jiran-tetangga yang tidak setaraf.


Nabi s.a.w. bersabda:

“Seburuk makanan adalah makanan walimah yang dijemput orang kaya dan ditinggalkan orang miskin..” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).


Maka, menderitakan bakal suami-isteri disebabkan keangkuhan keluarga.

Saya bukan anti kursus kahwin. Amat baik kursus tersebut jika diuruskan dengan mantap dan betul. Dalam kursus tersebut boleh disampaikan maklumat hukum-hakam nikah yang disyariatkan Allah sehingga generasi muda dapat melihat betapa cantik dan indahnya Islam. Syariat Islam yang mudah dan penuh hikmat dapat diserap dalam pemikiran bakal pasangan, kursusnya mereka yang masih muda. Agar mereka dapat menyelami kehebatan ajaran Islam ini. Maka kursus itu menjadi saluran dakwah penuh professional, mantap, berkesan dalam jiwa dan penghayatan.


Malangnya, kursus kahwin hari ini seakan projek lumayan untuk mengaut yuran peserta. Bukan sedikit saya terima laporan seluruh negara penceramah kursus kahwin yang berunsur lucah, lawak bodoh serta menggambarkan Islam begitu menakut dan susah untuk difahami dan dihayati. Hukum-hakam diterangkan secara berbelit-belit dan menyerabutkan peserta. Maka, kita lihat walaupun yuran kursus nampaknya makin tinggi dan peserta semuanya diwajibkan berkursus, masalah keretakan rumah tangga bagi generasi baru makin meningkat.


Saya juga amat tidak selesa melihat tok kadi yang selalu mendera pengantin agar mengulang-ulang lafaz terima (ijab) ketika akad nikah kononnya belum sah. Akad itu digambarkan begitu sulit dan susah sehingga seseorang menjadi terketar-ketar untuk menyebutnya. Diatur ayat lafaz akad itu dengan begitu skima sehingga pengantin kesejukan untuk menghafalnya.


Padahal akad nikah hanyalah bagi menggambar persetujuan kedua belah pihak menjadi suami isteri yang sah. Apa-apa sahaja lafaz yang membawa maksud kepada tujuan tersebut maka ia sah. Jika bapa bakal isteri menyebut “saya nikahkan saudara dengan anak saya Fatimah”, lalu bakal suami menjawab: “saya terima, atau saya bersetuju” atau mungkin ditambah “saya terima nikahnya” atau “saya bersetuju bernikah dengannya” seperti yang diminta oleh sesetengah sarjana dalam Mazhab al-Syafi’i, maka sahlah ijab dan qabul tersebut. Tidak disyaratkan mesti satu nafas atau dua nafas atau berjabat tangan atau menyusun ayat dalam bahasa sanskrit lama atau ayat tok kadi yang digunakan sebelum merdeka.


Sehinggakan sarjana fekah semasa Dr Abd al-Karim Zaidan dalam karya al-Mufassal fi Ahkam al-Marah wa al-Bait al-Muslim menyebut:

“Jika seseorang lelaki berkata kepada lelaki yang lain: “Nikahkan saya dengan anak perempuan awak”, lalu si bapa itu menjawab: “Aku nikahkan engkau”. Atau si bapa berkata kepada bakal suami: “bernikahlah dengan anak perempuanku”. Lalu bakal suami menjawab: “aku nikahinya”. Kedua contoh di atas adalah sah nikah berdasarkan apa yang disebutkan dalam Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim: Sesungguhnya seorang arab badawi telah meminang wanita yang telah mempelawa dirinya untuk Nabi s.a.w (ingin berkahwin dengan Nabi s.a.w), arab badawi itu berkata:”Nikahilah dia denganku”. Jawab Nabi s.a.w.: “Aku nikahkan engkau dengannya bermaharkan al-Quran yang ada bersamamu”. (al-Mufassal, 6/87, Beirut: Muassasah al-Risalah).


Bahkan dalam Sahih al-Bukhari ada bab yang al-Imam al-Bukhari letakkan ia berbunyi: Bab Iza Qala al-Khatib li al-Wali Zawwijni Fulanah, faqala qad Zauwajtuka bi Kaza wa Kaza, Jaza al-Nikah Wa In Lam Yaqul li al-Zauj Aradita au Qabilta, maksudnya: Bab Apabila Lelaki Yang Meminang Berkata Kepada Wali Perempuan: “Kahwinilah aku dengan wanita berkenaan”, lalu dia menjawab: “Aku nikahkan engkau dengannya bermaharkan sekian dan sekian, maka sah nikahnya walaupun tidak ditanya si suami apakah engkau setuju, atau terima”.


Inilah kesimpulan yang dibuat oleh al-Imam al-Bukhari berdasarkan hadis-hadis dalam bab nikah yang diteliti olehnya. Apa yang penting proses ijab dan qabul amatlah mudah. Ia adalah lafaz yang difahami oleh kedua belah pihak serta dua saksi yang menjelaskan kehendak dan persetujuan untuk berkahwin atau menjadi suami dan isteri. Apabila proses itu berlaku maka ia sah.


Tidak pernah ada dalil yang menyatakan mestilah satu nafas, atau tidak terputus nafas seperti diada-adakan oleh sesetengah pihak. Paling tinggi yang boleh kita kata adalah tidak boleh ada ruang yang menyebabkan salah satu pihak mengelirukan atau dikelirukan dalam menyatakan persetujuan nikah. Justeru itu Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah r.h (meninggal 728H) menyebut:

“Nikah itu terlaksana (sah) dengan apa sahaja yang dihitung oleh orang ramai sebagai nikah; dalam apa bahasa, atau lafaz atau perbuatan”. (petikan Sayyid Sabiq, Fiqh al-Sunnah, 2/355).


Apa yang ingin saya jelaskan betapa proses ijab qabul itu begitu mudah dan senang. Memadai jika bakal suami menjawab: “aku terima nikahnya”. Tidak timbul terpaksa berulang kali seperti yang dibuat oleh sesetengah pihak membuli pengantin. Jika jawapan yang diperlukan begitu ringkas dan jelas, dan pengantin pun telah melakukannya, mengapa pula ada tok kadi yang sengaja bertanya hadirin: perlu ulang ke? Lalu mereka pun dengan sukanya menyebut beramai-ramai ‘sekali lagi!, sekali lagi! Ini adalah permainan buli yang cuba dicampur aduk dengan hukum syarak.


Setelah berkahwin, rumahtangga yang dibina seperti yang diajar oleh Islam hendaklah menjadi syurga, bukan neraka. Jika perkahwinan tidak dapat membawa kebahgiaan, insan tidak disuruh memperjudikan hidup keseluruhan kerana isteri atau suaminya. Walaupun talak itu bukan perbuatan yang baik, namun ia dibenarkan jika terpaksa.


Insan mempunyai matlamat hidup, bukan sekadar untuk bertungkus lumus kerana masalah seorang lelaki atau wanita. Maka Islam mengajar cara-cara yang berbagai demi menyelamatkan rumah tangga dari talak. Jika gagal, Islam juga mengajar talak untuk mengelakkan kezaliman berlaku antara salah satu pihak; suami atau isteri. Firman Allah: (maksudnya)

“Dan apabila kamu menceraikan isteri-isteri (kamu) kemudian mereka (hampir) habis tempoh idahnya maka bolehlah kamu pegang mereka (rujuk) dengan cara yang baik atau lepaskan mereka dengan cara yang baik. dan janganlah kamu pegang mereka (rujuk semula) dengan tujuan memberi mudarat, kerana kamu hendak melakukan kezaliman (terhadap mereka); dan sesiapa yang melakukan demikian maka sesungguhnya dia menzalimi dirinya sendiri. dan janganlah kamu menjadikan ayat-ayat hukum Allah itu sebagai ejek-ejekan (dan permainan). dan kenanglah nikmat Allah yang diberikan kepada kamu, (dan kenanglah) apa yang diturunkan kepada kamu Iaitu Kitab (Al-Quran) dan hikmat, untuk memberi pengajaran kepada kamu dengannya. dan bertaqwalah kepada Allah serta ketahuilah: sesungguhnya Allah Maha mengetahui akan tiap-tiap sesuatu” (Surah al-Baqarah, ayat 231).


Jika penerusan perkahwinan hanya memberi mudarat kepada pasangan, maka talak itu disuruh oleh al-Quran. Malanglah kaum wanita yang sepatutnya telah dikeluarkan oleh al-Quran dari kezaliman atau kemudaratan si suami, tiba-tiba terjatuh dalam kezaliman batin akibat proses birokrasi mahkamah yang bernama syariah.


Maka, wanita hari ini ada yang terseksa batinnya kerana menunggu proses mahkamah yang kadang-kala memakan masa bertahun-tahun. Bagaimana mungkin isteri yang sudah tujuh lapan tahun suaminya tidak mengambil tahu soal nafkah zahir dan batin tetap disahkan oleh mahkamah bahawa dia masih suami sekalipun isteri berulang meminta dipisahkan. Kata Dr Karim ‘Abd al-Karim Zaidan menyebut:

“Jika suami gagal menunaikan nafkah untuk isteri, kadi memisah antara mereka jika isteri memilih untuk berpisah…Hal ini diriwayatkan dari sejumlah para sahabat dan tabi’in” (al-Mufassal, 7/217).


Beliau juga memetik apa yang disebut oleh al-Dardir dalam al-Syarh al-Kabir: “Bagi isteri boleh menuntut dipisahkan dari suami disebabkan mudarat yang dilakukannya; iaitu apa yang tidak diizinkan oleh syarak untuk dia buat seperti meninggalkan isteri atau memukulnya tanpa sebab dibenarkan syarak. Atau memaki dia atau bapanya seperti menyebut: Wahai anak anjing, atau wahai anak kafir! Atau wahai anak orang yang dilaknat”.

Dr Zaidan seterusnya memetik apa yang disebut oleh al-Imam Ibn Taimiyyah:

“Maka dianggap memberi mudarat kepada isteri yang boleh dipisah (dipasakh) apabila suami meninggalkan persetubuhan dalam apa keadaan sekalipun. Samada suami sengaja atau tidak sengaja”. (ibid 8/439).


Semua perbahasan yang begitu banyak boleh didapati dalam khazanah Islam itu menggambarkan rumahtangga untuk kebahagiaan hidup insan bukan untuk kedukaan mereka. Jika rumahtangga itu mengundang kedukaan, insan diberi peluang keluar oleh syarak untuk keluar dari daerah itu dengan segera. Malanglah, jika pintu keluar itu dihalang oleh kerenah biorokrasi mahkamah. Hakim barang kali ringan lidahnya menyebut: “kita tangguhkan perbicaraan kerana suami tidak hadir” sedangkan kesan jiwa begitu besar dan berat ditanggung oleh isteri.


Sebenarnya dalam Islam, jalan kepada halal dan kebahagian dibuka dengan begitu luas dan mudah. Dukacita, jika atas nama agama kita menyusahkan jalan yang halal dan dalam masa yang sama ada pula pihak-pihak lain yang memudahkan jalan yang haram. Perlaksanaan agama hendaklah bukan sahaja mendakwa adil, tetapi hendaklah juga kelihatan adil.

http://drmaza.com/home

Monday, February 9, 2009

Baru menulis..


Alhamdulillah, ini pertama kali saya menulis di sini.

Sebenarnya ini satu perkara yang amat meletihkan dan menguji kesabaran hati sebenarnya untuk menyiapkan layout bagi laman ini. Maklum, ini baru kali pertama belajar meng"edit" layout2 yang meletihkan ini tapi alhamdulillah, hasilnya agak memuaskan saya kira.
Tidak lama lagi, akan saya paparkan di sini pelbagai artikel dan tulisan yang bukan menarik mata memandang dan membacanya saja,akan tetapi insyaAllah berguna. Akan ada artikel tulisan saya sendiri dan artikel-artikel dari laman-laman lain.

Harap ia berguna untuk para pengunjung laman ini. Terutamanya semua kenalan saya, sokongan kalian insyaAllah banyak membantu.

Semoga usaha yang tidak seberapa ini diberkati dan diberi pertolongan oleh Allah SWT.