Sunday, March 29, 2009

Orang Politik! Berbaloikah ini semua?


Malas rasanya hendak mengulas keserabutan politik negara kita. Saya yang berada jauh di cerok Lampeter, Wales ini pun terasa betapa serabutnya kerenah politik dalam negara. Kadang-kala rasa letih perasaan hendak membaca berita-berita negara kebelakangan ini. Semuanya tentang kekeliruan politik.


Jika ada berita yang menyejuk jiwa seperti kisah kejayaan adik Nik Nur Madihah Nik Mohd Kamal yang berjaya dalam pelajarannya sekalipun dari keluarga miskin, tidak pula menjadi isu hangat untuk diperkatakan oleh masyarakat kita. Mungkin sekadar laporan media untuk sehari dua. Tidak enak barangkali untuk dihidang bersama rakan sebagai jamuan telinga seperti mana sedapnya mendengar cerita kekalutan politik.


Padahal pendidikan dan ilmu diperlukan secara langsung oleh setiap insan, sedangkan politik rakus dan ‘gila kuasa’ hanya untuk mereka yang dimabukkan oleh syaitan. Sehingga saya baca daripada satu sumber berita kononnya dijumpai ‘barangan bomoh’ yang diletakkan di bawah meja Perdana Menteri. Pelik bunyinya kisah-kisah politik kebelakangan ini. Apa yang patutnya rahsia, dikongsi semua. Ada yang patut dikongsi semua, menjadi rahsia.


Maka tertanya sekelian rakyat: “tangan-tangan siapakah gerangan?”. Jika saya yang berada di Lampeter United Kingdom ini iaitu satu kawasan yang dianggap ulu tetapi tenang, menghijau, dengan udaranya yang segar dan masyarakatnya yang agak mesra, pun terasa mual dan loya dengan berita-berita negara kita, apatahlagi perasaan rakyat yang prihatin yang hidup dalam negara.


Atau mungkin rakyat negara kita sudah sampai kepada satu tahap menganggap kisah-kisah kecurangan dan sensasi ahli politik adalah satu hiburan seperti mana kisah-kisah gossip artis. Padahal ada beza antara dua kelompok tersebut. Gossip artis mungkin kesannya tidak seburuk kecurangan ahli politik yang rasuah, salahguna kuasa, memecah belahkan masyarakat hanya atas kepentingan, membazir masa rakyat dan menggadaikan masa depan awam.


Membaca berita ahli politik; tikam menikam sesama sendiri, benci-membenci dalam mengejar kuasa, curahan wang dan harta kerana pangkat semata, dedah mendedah keaiban masing-masing dan berbagai lagi menjadikan dada kusut dan serabut. ‘Sembang-sembang’ mereka penuh dengan sumpah seranah dan permusuhan hanya kerana kuasa.


Kawan-kawan orang politik ramai yang munafik daripada yang jujur. Pujian untuk orang politik banyak yang dusta daripada yang ikhlas. Bak kata ungkapan pantun dalam lagu: Inikah dia lakonan hidup, di pentas dunia insan berpura. Tipu dan daya mencapai maksud, budi dan harta merangkum noda.


Hairan kita dengan orang politik, apakah candu yang mereka telan sehingga mereka sanggup berada di alam yang seperti itu. Apakah yang mereka kejar untuk memperolehinya sehingga mereka sanggup meredah badai kesakitan jiwa dan perasaan yang sedemikian. Apakah mereka mengejar kuasa tanpa bahagia? Atau kuasa bersama derita? Atau biar derita asal berkuasa? Atau mereka sebenar tidak berjumpa dengan nikmat hidup bahagia? Atau mereka bak apa yang Allah firman dalam al-Quran: (maksudnya)


“Oleh itu, janganlah engkau tertarik kepada harta benda dan anak pinak mereka, (kerana) sesungguhnya Allah hanya mahu menyeksa mereka dengan itu semua dalam kehidupan dunia” (Surah al-Taubah: ayat 55).


Sejarah seantero dunia meriwayatkan cerita-cerita politik itu penuh dengan riwayat sengsara dan derita. Orang yang tamakkan kuasa sebenarnya mengidap sejenis penyakit gila yang mungkin bertindak di luar dari kebiasaan insan yang normal. Dia mungkin berbohong, khianat, rasuah, menzalimi insan lain, bahkan mungkin membunuh atas kegilaan yang luar kawalan. Dia sanggup mengorbankan segala-galanya, hanya kerana kuasa.


Tetapi yang pasti jika diteliti, mereka ini hilang kewarasan, kebahagiaan dan ketenteraman hidup. Jiwa mereka miskin. Bayang-bayang ketakutan atas dosa dan hilang kuasa memburu mereka setiap waktu dan penjuru. Perasaan resah apabila bersendirian tanpa pengikut, atau sendiri bermimpi ngeri bimbang hilang pengaruh. Demikianlah insan apabila Allah dan bayangan hari akhirat itu hilang dari jiwa seseorang insan.


Para pejuang kebenaran kerana Allah juga mungkin derita dan diseksa. Mungkin juga diuji dengan penderitaan fizikal dan tekanan perasaan sebagai insan. Namun, keimanan, keikhlasan dan harapan mendapat ganjaran di sisi Allah sentiasa menjadikan derita itu kecil, bahkan mungkin bertukar menjadi nikmat apabila apabila mengenang bahawa ujian dan bala itu penyebab ganjaran dan pahala serta menghapuskan dosa.


Jiwa mereka besar kerana tempat pergantungan mereka sangat agung. Ini seperti yang sering para pejuang sebutkan: “Jika aku dipenjara maka itu satu kerehatan. Jika dibuang negeri maka itu satu perlancongan dan jika aku dibunuh maka itu bererti syahid. Para pejuang kebenaran sentiasa damai kerana nampak ke mana jalan hendak dituju. Firman Allah dalam Surah al-Nisa’: (maksudnya)


“Dan janganlah kamu lemah (hilang semangat) dalam memburu musuh (yang menceroboh) itu; kerana kalau kamu menderita sakit maka sesungguhnya mereka pun menderita sakit seperti penderitaan kamu; sedang kamu mengharapkan daripada Allah apa yang mereka tidak harapkan dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana”.


Ugutan, ancaman, penghinaan, kezaliman dan segala rupa kesakitan hidup dirasai oleh orang politik dan bukan politik. Namun antara perbezaan mereka yang berkerja untuk menegakkan kebenaran kerana Allah dan mereka yang berjuang untuk kepentingan tembolok sendiri adalah ketenangan jiwa dan kehalusan perasaan yang penuh syahdu dan lunak yang tidak dimiliki melainkan oleh golongan yang pertama.


Golongan pertama iaitu para pejuang kebenaran kerana Allah, tanpa mengira atas pentas apa mereka berada; dakwah, politik, ekonomi, pendidikan atau apa sahaja, akan melalui kesukaran perjuangan mereka dengan mendekatkan diri kepada Allah, mengharapkan pahala dan keampunan serta tawakal yang penuh kepadaNya. Samada kemenangan atau ketewasan; semuanya dihayati sebagai nikmat pengorbanan untuk insan kerana Tuhan.


Firman Allah Surah Ali ‘Imran 173: (maksudnya)

“Mereka yang apabila diberitahu oleh orang ramai (pembawa berita) kepada mereka: “Bahawa manusia berkumpul untuk memerangi kamu, maka gerunlah kamu kepada mereka”. (maka berita itu sebenarnya) menambahkan iman mereka lalu berkata: “Cukuplah Allah untuk (menolong) kami, dan Dia sebaik-baik pengurus (yang terserah kepadanya Segala urusan kami)”.


Sebab itu dalam sejarah kuasa politik sekalipun hebat, gagal untuk menundukkan pejuang kebenaran yang ikhlas. Sekalipun tubuh dan harta para pejuang itu diseksa dan dirampas, tetapi jiwa penguasa juga yang menderita. Namun sejarah terus mencatatkan kedua kelompok itu sentiasa berterusan wujud sekalipun menghadapi berbagai rintangan.


Penegak kebenaran kerana Allah ada di setiap zaman menghadapi segala tribulasi perjuangan kerana memburu keredhaan Allah dan syurga yang dijanjikan. Sementara kelompok yang tamakkan kuasa juga wujud di setiap zaman disebabkan penyakit gila yang meresap ke dalam jiwa mereka. Mereka terbayang pada kuasalah segala keindahan dan keseronakan. Mereka lupa betapa ramai yang berkuasa itu telah hilang nikmat kebahagiaan jiwa. Sabda Nabi s.a.w:


“Kamu semua begitu bercita-cita terhadap jawatan kepimpinanan, ianya akan menjadi penyesalan pada hari kiamat. Ianya sesuatu yang nikmat pada permualaannya tapi keburukan pada akhirnya” (Riwayat al-Bukhari).


Ya, politik bukan semuanya buruk. Berpolitik untuk menegakkan kebenaran serta berpolitik dengan disiplin yang ditunjukkan oleh Allah dan RasulNya adalah tuntutan. Kita perlukan orang politik yang melaksanakan tanggungjawab kepimpinan berdasarkan wahyu Tuhan. Namun jika politik itu adalah kisah ketamakan dan kerakusan seperti yang sering kita dengar, ia sebenarnya adalah kisah insan-insan yang hilang bahagia, berpenyakit jiwa dan gila.


Maka ingin kita bertanya kepada mereka ini yang sengit bertarung saban hari: “Berbaloikah semua itu?”

Friday, March 27, 2009

KALAULAH SAYA JUGA MINAH INDONESIA


Hishamuddin Rais


Sama ada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) wujud atau mati, orang awam di negara kita akan terus bercakap dalam Bahasa Melayu.

Manusia di mana-mana pun dalam dunia ini perlu berhubung antara satu dengan yang lain. Bunyi yang keluar dari mulut dan tekak mereka menjadi cara terbaik untuk berhubung. Bunyi ini akan menyampaikan apa yang ada dalam fikrah mereka.

Jutaan tahun dahulu, bunyi-bunyi ini tunggang-langgang sifatnya. Masa dan keperluan untuk berhubung sesama manusia telah mengembangkan bunyi ini dari satu susuk ke satu kumpulan hingga ke satu daerah dan mukim. Kemudian ia menjadi tersusun, bercambah dan berkembang – akhirnya bunyi ini dipanggil bahasa.

Semua ini berlaku tanpa dana daripada Kementerian Pelajaran atau DBP.

Heboh-heboh Bahasa Melayu mula kedengaran kembali di awal tahun ini. Heboh-heboh bahasa dalam negara kita ini macam perangai kelab dangdut: kejap-kejap ada, kadang-kadang hilang. Tetapi selalunya hilang entah ke mana. Macam berniaga buluh kasap, hujung hilang pangkal lesap.

Pernahkah para pembaca terdengar nama Gapena (Gabungan Penulis Nasional), Pena (Persatuan Penulis Nasional) dan beratus-ratus jenis kumpulan yang mengakui bahawa ahli-ahlinya bakal penulis, penulis dan sasterawan?

Sesiapa yang tidak pernah mendengar, tidak mengapa. Kita tidak akan dimarahi oleh menteri dalam negeri Syed Hamid Albar atau disaman oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi).

Nama-nama yang saya tulis di atas itu badan-badan sasterawan Melayu yang "berani" mengakui diri mereka sebagai pewaris, pengembang dan penjaga Bahasa Melayu. Saya cukup sangsi dengan pengakuan badan-badan ini. Telah lama saya perhatikan.

Badan-badan ini lebih banyak dilihat sebagai pembodek kuasa daripada berjuang untuk menegakkan Bahasa Melayu.

Untuk saya, susuk ulung yang trampil dalam mengembangkan Bahasa Melayu pada ketika ialah Minah-minah Indonesia dan bukan badan-badan sasterawan ini.

Cuba perhatikan: Pada ketika ini Minah-minah Indonesia ini berada di setiap pelusuk kota-kota besar di negara kita ini.

Mereka datang ke sini untuk bekerja mencari nafkah. Mereka tidak mengira kerja apa pun - semua sanggup mereka lakukan. Mereka tidak memilih siapa majikan mereka. Mereka tidak menilai apa agama majikan mereka.

Mereka tidak menghiraukan di lubang mana mereka akan bekerja. Inilah sikap dan nilai kaum buruh, kaum proletariat, yang dibawa oleh Minah-minah Indonesia ke sini.

Wajib disedari bukan semua mereka ini Melayu. Ertinya bukan semua bahasa ibunda mereka Bahasa Melayu. Ada Minah Jawa, ada Minah Sulawesi, ada Minah Ambon, ada Minah Madura.

Semua suku kaum ini memiliki bahasa khusus masing-masing – bahasa ibunda mereka tersendiri. Tetapi apabila memburuh dan membanting tulang di negara kita, mereka menggunakan Bahasa Melayu.

Perhatikan apa yang akan terjadi apabila mereka menjadi pembantu rumah di sebuah rumah Tioghua kelas menengah. Minah-minah Indonesia ini tidak mengetahui Bahasa Inggeris.

Mereka wajib berhubung, justeru pastilah Bahasa Melayu yang akan digunakan di antara si Minah dengan majikannya.

Tidak dapat tidak majikannya, yang mungkin selesa dengan Bahasa Inggeris, kini wajib bertutur dalam Bahasa Melayu.

Kehadiran si Minah ini telah memaksa keluarga Tionghua kelas menengah menggunakan Bahasa Melayu. Keadaan ini lebih hebat daripada kempen-kempen penggunaan Bahasa Kebangsaan anjuran kerajaan yang hanya sibuk di poster-poster dan kain-kain rentang.

Biasanya majikan dari kelas menengah memiliki sikap tak ambil endah terhadap Bahasa Melayu. Jadi, apabila si pembantu ini datang, maka untuk pertama kalinya si majikan "terpaksa" mempelajari kembali cara yang betul dan tepat untuk bertutur dalam Bahasa Melayu.

Tidak ada peranan DBP, Kementerian Pelajaran, Teras (Teras Pengupayaan Melayu) atau sasterawan Melayu di sini. Semua pengajaran Bahasa Melayu ini berjalan tanpa paksaan. Semuanya berjalan tanpa akta Parlimen atau riuh-rendah daripada Gapena.

Jika si Minah ini menjadi babu menjaga anak, maka peranan babu ini cukup penting. Si Babu yang mendodoikan anak kecil ini akan lebih banyak berguli dan berjenaka dengan si anak kecil.

Malah jika diambil nisbah masa, waktu si babu bersama anak lebih banyak berbanding dengan waktu si ibu bersama anak. Si babu Minah Indonesia ini pastilah bertutur dalam Bahasa Melayu yang tersusun. Bunyi yang keluar dari tekak dan mulut si babu inilah yang akan sentiasa didengar oleh telinga si anak kecil.

Inilah bukti si babu ini sedang menjadi pengembang Bahasa Melayu tanpa ada laporan huhah huhah dalam Dewan Sastera atau Dewan Masyarakat. Atau laporan daripada Kementerian Pelajaran.

Lihat apa yang sedang terjadi di Hong Kong. Di kota pulau ini, tanpa dirancang, Tagalog menjadi bahasa kedua rakyat di sana.

Ia berlaku kerana hampir semua babu dan pembantu rumah di Hong Kong didatangkan dari Filipina. Tidak dapat tidak anak-anak kecil yang dijagai oleh Minah Filipina ini akan fasih berbahasa Tagalog.

Saya juga sering ke kedai makan dan ke restoran Cina. Saya perhatikan banyak, malah hampir semua, restoran Cina di kota Kuala Lumpur ini mengambil pekerja Minah Indonesia.

Ada yang bertugas di dapur, ada yang membuat minuman dan ramai yang menjadi pelayan tamu. Minah-minah ini tanpa segan-silu bekerja dalam restoran Cina.

Sekali lagi saya perhatikan betapa pentingnya peranan mereka. Kalau Minah ini menjadi pelayan di restoran Cina, sudah pasti para pelanggan Cina yang akan dilayani. Si Minah akan mengambil pesanan. Si Minah akan membersihkan meja. Si Minah akan menyusun tempat duduk. Si Minah ke dapur menghantar pesanan. Beginilah pekerjaan pelayan.

Tetapi ada satu lagi pekerjaan yang saya anggap lebih suci tetapi tidak dapat dinilai dengan ringgit dan dolar – si Minah pelayan di restoran Cina ini penyebar Bahasa Melayu yang ulung.

Saya perhatikan Bahasa Melayu yang dituturkan oleh Minah-minah Indonesia ini cukup teratur. Lenggok dan lagunya bahasa baku.

Si Minah ini tidak pernah akan mengubah telo bunyi yang akan keluar dari mulut dan tekak mereka. Bunyi-bunyi yang dikeluarkan adalah sama – tidak mengira apakah si pelanggan seorang apek berseluar pendek atau seorang taukeh berjaket dan bertali leher.

Malah daripada pemerhatian saya, Bahasa Melayu yang dituturkan oleh Minah-minah ini lebih baik susunan ayatnya daripada pertuturan kelam bin kabut dan lintang bin pukang yang terhambur dari tekak para pengacara televisyen dan radio kita.

Saya pendukung penggunaan Bahasa Melayu. Saya bukan pembodek bahasa – apabila ada kempen-kempen Bahasa Kebangsaan dijalankan, maka saya tidak akan "menonjol-nonjol" untuk masuk ke "bingkai" untuk berdiri di sebelah menteri.

Saya tidak akan memakai baju batik berlengan panjang untuk membaca-baca sajak yang saya sendiri pun tidak memahami hujung pangkal. Untuk saya, semua ini kerja bodoh.

Bahasa Melayu, untuk saya, bukan Bahasa Kebangsaan. Saya tidak memiliki nilai "kebangsaan". Bahasa Melayu milik anak semua bangsa. Bahasa Melayu adalah bunyi-bunyi dari tekak dan mulut untuk tujuan kita berhubung antara satu sama lain.

Bunyi-bunyi ini wujud untuk kita berhubung, mengenal, menyambung nilai dan menyambung sejarah kita.

Bahasa Melayu, untuk saya, "bahasa strategik untuk perubahan". Saya mengamal, menyebar dan mencanangkan Bahasa Melayu bukan kerana saya Melayu tetapi kerana saya yakin hanya penggunaan Bahasa Melayu ini sahaja yang akan dapat menolak terbuka apa sahaja bentuk perubahan yang diinginkan di negara kita ini.

Kalau sesiapa yakin tentang peranan Bahasa Melayu sebagai bahasa strategik untuk perubahan, maka mereka wajib memiliki nilai-nilai seperti Minah-minah Indonesia yang sedang memburuh dalam negara kita sekarang.

Saya cukup menghormati Minah-minah Indonesia ini – untuk saya - merekalah pejuang Bahasa Melayu yang tulen.

Meremang bulu tengkuk, dan besar kemungkinan saya juga akan muntah, jika saya disabitkan dengan gerakan Bahasa Kebangsaan. Saya lebih berbesar hati dan berbangga jika saya juga dapat dianggap sebagai Minah Indonesia.