Sunday, May 31, 2009
New World Order (NWO)
Kita diberitahu bahawa dunia sedang menghadapi masalah kecairan – ertinya tidak ada duit dalam pasaran. Lalu kita bertanya ke mana agaknya segala duit yang terkumpul dalam dunia ini pergi.
China, Jepun, Korea, Singapura, Taiwan dan termasuk Malaysia sendiri menyimpan duit-duit ini dalam bentuk kertas dolar Amerika.
Wang yang tersimpan ini – menjadi wang simpanan negara – hasil kita berjual-beli dengan Amerika.
China dan Jepun negara yang paling banyak menyimpan kertas dolar. Kertas dolar telah dipaksakan ke atas dunia ini oleh kuasa imperial Amerika Syarikat.
Pemaksaan ini melalui dua cara. Pertama, Amerika telah membuat perjanjian 1972-74 dengan keluarga Saud bahawa semua jual-beli minyak wajib menggunakan kertas dolar kerana bahan bakar petroleum diperlukan oleh semua negara dengan Saudi pengeluar utamanya.
Sebagai gantinya, kuasa imperial Amerika berjanji akan menjaga keselamatan keluarga Saud daripada dipukul oleh ombak rakyat.
Kedua, dengan kekuatan bala tentera. Amerika mendirikan 702 pengkalan tentera di 130 buah negara dalam dunia ini.
Tidak ada negara penjual minyak yang berani menjual minyak tanpa menggunakan kertas dolar. Saddam Hussein cuba mengalihkan kertas dolar sebagai mata wang jual-beli minyak.
Jawapannya Saddam digantung mati. Iran sedang berusaha untuk beralih daripada kertas dolar, justeru segala bentuk sekatan sedang dilakukan ke atas Iran.
Dari mana kertas dolar ini datang? Kertas dolar hanyalah kertas yang telah dipaksakan nilainya ke atas warga dunia. Ia dipanggil fiat money - nilai yang dipaksa.
Tanpa paksaan ini dolar hanyalah kertas yang tidak memiliki apa-apa nilai. Justeru, kertas dolar adalah satu penipuan yang terunggul dalam sistem ekonomi kapitalis.
Pada awalnya Amerika Syarikat sebuah negara revolusioner yang berdiri untuk menjaga kepentingan warga. Amerika mengeluarkan duit kertasnya sendiri.
Amerika yang merdeka telah membebaskan diri daripada para pemilik bank yang telah lama bersarang di City of London. Tuan-tuan empunya bank merasa mereka kehilangan bumi permata apabila Amerika menjadi bebas dan merdeka.
Lalu para pemilik bank menelurkan satu konspirasi untuk memaksa pentadbiran Amerika terus terikat dengan kepentingan mereka.
Pada tahun 1913, setelah beberapa kali percubaan gagal, akhirnya para pemilik bank telah berjaya memaksa (atau menipu) Kongres untuk menerima dan meluluskan Akta Federal Reserve 1913.
Ramai warga dalam dunia tersilap menyangka bahawa Federal Reserve ini adalah bank milik negara Amerika. Tidak betul.
Federal Reserve ini bukan bank milik negara Amerika seperti Bank Negara kita di pinggir Jalan Kuching. Federal Reserve adalah bank swasta yang tuan pemiliknya dirahsiakan.
Siapa ahli-ahli lembaga pengarah Federal Reserve ini juga dirahsiakan. Kongres hanya boleh menerima atau menolak dua nama yang akan dicadangkan oleh Federal Reserve.
Justeru dunia hanya mengenali nama Alan Greenspan, pengerusi Federal Reserve yang lalu dan Ben Bernanke, pengerusinya yang terkini.
Siapa yang lain di belakang tabir Federal Reserve ini tidak akan diketahui umum.
Mengikut akta 1913 ini, pentabiran Amerika tidak lagi dibenarkan mengeluarkan mata wang sendiri. Mata wang untuk kegunaan negara Amerika hanya akan dikeluarkan oleh Federal Reserve.
Jika kerajaan Amerika memerlukan dolar, maka kerajaan wajib meminjam daripada Federal Reserve – sama ada dengan menjual bond atau meminjam dengan bunga yang ditetapkan.
Lihat bagaimana liciknya konspirasi para pemilik bank ini.
Seperti tulisan minggu lalu, para pemilik bank ini mencetak kertas yang dipanggil dolar tanpa apa-apa asas. Kertas dolar ini akan dipinjam oleh kerajaan Amerika daripada Federal Reserve dan akan dibayar kembali dengan bunga.
Duit membayar hutang dan riba ini datang daripada tenaga dan titik peluh rakyat Amerika. Melalui kertas kosong, para pemilik bank ini telah mencipta harta Qarun.
Inilah punca yang sedang membawa huru-hara ke atas dunia hari ini. Mungkin ada yang berhujah – perkembangan ini di Amerika, apa sangkut pautnya dengan harga ikan di Pasar Chow Kit?
Sabar dahulu, biar saya terangkan sejelas mungkin.
Hari ini perniagan tukaran mata wang dalam dunia ini semuanya diwajibkan menggunakan dolar. Semua simpanan bank-bank negara dalam dunia ini akan bersandarkan dengan kertas dolar.
Ia telah dipaksakan oleh sistem kapitalis yang dikepalai oleh pemodal Anglo-Amerika. Para pemilik bank dan kaum pemodal ini telah mendirikan lembaga-lembaga kewangan dunia.
Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) menjadi dua lembaga hitam yang memastikan kertas hijau ini digunakan di seluruh dunia.
Setiap negara akan dinilai kekuatan ekonominya bersandarkan dolar. Perniagaan antarabangsa semuanya menggunakan kertas dolar. Barang yang kita ekspot dan barangan yang kita impot semuanya dinilai dengah kertas hijau ini.
Justeru, kita sendiri di Malaysia akan melihat rebah bangun ekonomi negara kita melalui perbandingan ringgit dengan kertas dolar.
Jika pembaca memahami apa yang saya tulis ini, maka amat jelas kelihatan bahawa umat manusia dalam dunia ini telah diperbodohkan dan ditipu oleh Federal Reserve, Bank Dunia dan IMF.
Lalu kita menyoal diri kita sendiri: kenapa tidak dapat dilakukan sesuatu untuk membebaskan diri daripada sistem kapitalis global ini?
Pertama, banyak rakyat Amerika sendiri kurang sedar silap mata dan tipu helah yang dijalankan oleh Federal Reserve ke atas negara mereka. Rakyat dunia juga tidak sedar akan hal yang sama.
Kedua, tidak ada sesiapa yang akan dapat memasuki Rumah Putih yang akan berani membocorkan rahsia ini. Lihat apa terjadi kepada Abraham Lincoln yang menentang para pemilik bank dan Central Bank (nama asal Federal Reserve).
Presiden Lincoln yang berperang hampir jatuh muflis telah mencetak Lincoln Greenback Dollar tanpa meminjam daripada Central Bank.
Lihat juga apa yang terjadi kepada John F Kennedy kerana cuba membocorkan konspirasi kaum pemodal ini.
Ketiga, tidak ada sesiapa yang akan dapat menjadi ahli Kongres atau masuk ke Dewan Senat Amerika dengan agenda menentang Federal Reserve, menentang para pemilik bank dan kaum pemodal ini.
Semenjak 1913, pemilik banker ini telah membuat jaringan, kabel dan kumpulan rahsia untuk memastikan kepentingan mereka dijaga oleh para politikus.
Hari ini kabel rahsia para pemilik bank ini telah mempengaruhi semua cabang pentabiran di Amerika. Hasilnya, media tidak pernah dan tidak akan melaporkan ke akar umbi secara radikal rancangan jahat para pemilik bank dan kaum pemodal ini.
Enam puluh tahun dahulu masih terdapat 86 buah syarikat media yang besar dalam dunia ini. Ketika itu, media cetak masih lagi bergerak bebas.
Hari ini yang tinggal hanya enam buah syarikat - ViaCom, General Electric, Disney, NewsCorp, Times Warner dan CBS - yang memiliki pelbagai bentuk media.
Syarikat-syarikat media ini pula dimiliki oleh para pemilik bank. Malah jika menyelidik dengan rapi, kita akan menemui bahawa modal-modal ini juga telah meresap masuk ke dalam industri media tempatan kita.
Yang menyusun dan merancang semua ini adalah kabel-kabel rahsia seperti Freemason, Bohemian Grove, Bilderberg Group, Skull dan Bones – semuanya terpusat di bawah satu bumbung yang dikuasai oleh pemodal dan pemilik bank yang sedang merancang untuk memunculkan satu Order Baru Dunia.
Di belakang semua ini, nama-nama seperti Rothschild, Rockefeller and Morgan. Mereka ini berkumpul di bawah payung organisasi yang dipanggil Illuminati. Susuk-susuk yang kaya-raya ini tidak pernah muncul menunjukkan muka mereka.
Kabel rahsia ini telah memunculkan muka-muka yang boleh dikenali oleh dunia seperti Henry Kissinger, Zbigniew Brzezinksi dan Lord Carrington. Mereka ini dianggap sebagai jurufikir yang berkumpul di bawah Council of Foreign Relation di Amerika dan Royal Institute of International Affairs di United Kingdom.
Lembaga jurufikir seperti NGO ini akan menjemput malaon dari dunia ketiga yang bercita-cita untuk menjadi presiden atau perdana menteri.
Tugas badan pemikir ini ialah mentafsir dan menilai malaon-malaon dari dunia ketiga ini. Penilaian bukan berdasarkan apa yang ada di antara dua telinga maloan-malaon ini tetapi sama ada mereka ini akan bersedia untuk menjadi barua yang setia untuk menjalankan dasar yang diperlukan oleh kabel rashia ini.
Justeru, kita lihat apabila dasar penswastaan dianjurkan, maka semua malaon yang telah dilantik menjadi barua di dunia ketiga akan menjalankan dasar yang sama. Apabila dasar globalisasi diperkenalkan, maka malaon-maloan ini seperti burung kakaktua akan turut bersuara.
Jika ada malaon ini yang cuba melawan seperti Noriega dari Panama atau Saddam, maka dengan sekelip mata mereka akan dilupuskan. Jika malaon ini sudah selesai tugasnya seperti Suharto, Marcos, Lol Nol atau Zia ul Haq, mereka akan diketepikan untuk malaon yang baru naik.
Semua ini dirancang. Tidak ada yang berlaku tanpa perancangan.
Hari ini sebenarnya tidak ada masalah kecairan. Apa yang berlaku, peralihan harta dan wang ringgit warga dunia masuk ke tangan para pemilik bank ini.
Dolar yang terkumpul hari ini melebihi 17 trilion dolar. Dolar, emas dan pelbagai mata wang ini tersimpan di 27 buah negara pulau yang memiliki bank pesisir pantai.
Negara seperti Bermuda, Cook Islands, Switzerland, Luxumbourg, Cayman Island dan termasuk Labuan adalah tempat tersoroknya harta ini.
Buat ketika ini, di sinilah harta kekayan dunia sedang bermastautin.
Thursday, May 28, 2009
Riba dan Hukum-Hakam Kapitalisme
Nilai baik atau jahat lahir daripada akal manusia.
Madame Marie Curie menemui radium dan menemui cahaya X dalam uranium. Dia juga menemui hukum-hakam uranium. Ciri dan watak uranium tidak pernah berubah.
Apabila ditemui ciri dan hukum-hakam uranium, maka akal manusia jugalah yang cuba mengubah hukum-hakam ini sehingga melahirkan bom atom.
Kajian hukum-hakam algebra dan ilmu bintang oleh al-Khwarizmi di Baitul Hikmah, Baghdad di zaman Khalifah Al-Mamun berkembang hingga ke hari ini.
Hukum ilmu bintang ini berkecuali – hanya kuasa imperial Anglo-Amerika yang menggunakan hukum ini untuk kebejatan dengan meletakkan senjata di atas langit.
Kapitalisme juga bergerak mengikut hukum-hakam. Hukum pertama kapitalisme ialah: untuk mendapatkan keuntungan maksimum. Hukum ini tidak akan beralih-alih.
Sama ada kapitalis ini Majusi, Yahudi, Nasrani atau Islam – hukum kapitalis tetap sama.
Kapitalisme juga bergerak melalui hutang. Sistem kapitalisme akan runtuh jika hutang dan riba tidak wujud. Kepala jahat yang melahirkan hutang dan riba ini ialah bank.
Justeru kita wajib memahami bagaimana bank mula bergerak untuk mendapat keuntungan maksimum.
Sebelum kemunculan bank – di zaman kapitalisma kaum pedagang - emas adalah tukaran. Justeru, jika kita menyemak Sejarah Melayu, kita akan terbaca ufti yang dibayar kepada Raja Siam berbentuk Bunga Emas.
Kita juga terbaca perkataan perak sebagai wang. Jika melawat musium, kita akan akan dapat melihat mata wang lama Alam Melayu – emas dan perak.
Para saudagar yang berniaga akan mengupah tukang emas untuk membuat kepingan emas dan perak ini sebagai tukaran membeli-belah.
Saudagar akan meninggalkan emas dan perak untuk disimpan ke dalam peti besi tuan kedai. Kepingan emas dan perak ini dijaga rapi. Sebagai tandanya, tuan kedai akan menulis di atas kertas jumlah emas yang tersimpan.
Kertas ini cukup berharga. Sesekali si saudagar akan datang melihat emasnya yang tersimpan.
Tuan kedai emas melihat bahawa surat yang ditulisnya telah diyakini umum. Keyakinan ini datang kerana tuan kedai bukan hanya menyimpan untuk seorang saudagar tetapi berbelas-belas.
Jika ada si saudagar atau sesiapa yang datang untuk melihat emasnya, tuan kedai akan memperlihatkan emas-emas kepunyaan saudagar yang lain. Keyakinan bertambah.
Dari sini hukum kapitalisme bergerak lagi. Contohnya, tuan kedai menyimpan 100 keping emas yang dimiliki saudagar Buluh Kasap. Jika disimpan, maka nilainya tidak bertambah.
Justeru tuan kedai telah menulis 200 keping kertas untuk Buluh Kasap. Ertinya, ada seratus keping kertas lebih daripada 100 keping emas. Lebihan kertas ni menjadikan modal saudagar Buluh Kasap bertambah satu kali ganda.
Kertas yang ditulis oleh tuan kedai ini diuar-uarkan sama dengan nilai emas yang tersimpan dalam peti besi tuan kedai - inilah asal-usul duit kertas atau bank note.
Daripada pengalamannya, tuan kedai tahu bahawa para saudagar ini tidak semuanya akan datang serentak untuk melihat emas simpanan masing-masing. Justeru, dia boleh memutarbelitkan jumlah kepingan emas yang disimpan.
Hukum keuntungan maksimum sistem kapitalis bergerak lagi. Kali ini tuan kedai bukan lagi mengeluarkan kertas kepada si penyimpan emas sahaja tetapi telah berani menjual kertas ini kepada sesiapa sahaja yang sanggup membayar untuk digunakan sebagai modal.
Kertas yang dijual ini pastilah telah melebihi daripada jumlah emas yang tersimpan. Perkara ini tidak diketahui umum kerana tuan kedai menyimpan emasnya secara rashia - konon untuk menjaga kestabilan suasana perniagaan.
Tuan kedai emas menjadi kaya dengan menjual kertas kosong yang tidak berasaskan emas. Justeru inilah asal-usul bank dalam sistem kapitalisme. Amat jelas bank bermula dengan pembohongan.
Pembohongan ini menjadi kukuh kerana adanya keyakinan daripada orang ramai. Mereka yakin kerana melihat ramai saudagar telah menyimpan emas dengan tuan kedai.
Tuan kedai emas ini juga dilihat hebat di kalangan masyarakat kerana memiliki rumah besar, isteri gemuk, makanan sedap, ada babu dan pengawal peribadi.
Tuan kedai emas ini akhirnya menjadi pemilik bank. Gejala ini berlaku 500 tahun dahulu. Jika kita membaca karya Shakespeare, kita akan bertemu dengan si Mamat yang bernama Shylock tuan peminjam wang di kota Venice.
Shylock ini watak pemilik bank 500 tahun dahulu. Hari ini watak, hukum-hakam dan ciri-ciri seorang pemilik bank tidak pernah berubah. Hutang wajib dibayar. Jika tidak, daging seketul wajib diagihkan.
Hari ini, 500 tahun kemudian, asas hukum perbankan tidak pernah berubah tetapi cara pengendalian lebih tersusun.
Umum selalu bertanya dari mana datangnya wang. Jawabnya: yang mencetak wang ialah bank. Caranya tidak jauh bezanya daripada amalan tuan kedai emas dahulu.
Contoh: Ada sebuah bank bernama Bank Buluh Kasap yang memiliki modal sebanyak 100 ringgit. Bank ini mendapat pelanggan 10 orang yang menyimpan 100 ringgit seorang.
Ertinya bank ini ada 1100 ringgit. Bank ini kemudian memberi pinjaman kepada 10 pelanggan baru. Setiap pelanggan dipinjamkan 200 ringgit. Lihat silap mata!
Dari 100 ringgit modal asal, kini menjadi 2100 ringgit.
Bank ini sebenarnya tidak memberikan pinjaman duit tetapi kredit. Tidak ada duit bertukar tangan - ini duit atas angin. Tuan punya bank seperti tuan kedai emas tahu bahawa tidak semua pelanggan akan datang serentak untuk mengeluarkan duit simpanan.
Bank memungut bunga dan riba – yang dipanggil untung. Duit bunga ini akan terus dipusingkan untuk dipinjamkan lagi. Ertinya duit dalam sistem ekonomi kapitalis lahir daripada hutang dan bunga.
Beginilah yang telah dilakukan oleh semua bank. Inilah caranya bagaimana duit muncul dalam pasaran. Sistem bank dalam ekonomi kapitalis bergerak mengikut hukum ini.
Dalam masa yang sama, si peminjam diminta memberi cagaran – amalan ini untuk menjamin keuntungan kepada bank. Jika si pelanggan gagal membayar hutang, maka cagaran akan terlupus.
Harus difahami bahawa bank membuat duit bukan melalui cagaran. Bank membuat duit dengan memberi orang berhutang. Cagaran hanya mainan silap mata untuk melahirkan keyakinan.
Katakan pada hari Rabu minggu hadapan, semua pelanggan Bank Buluh Kasap ingin mengeluarkan duit - maka tertonggeng dan terkangkang Bank Buluh Kasap!
Tidak ada duit sebenarnya dalam bank itu. Yang berpusing-pusing hanya kertas. Tertongeng dan terkangkang inilah yang sedang kita hadapi semenjak September 2008.
Bank Northern Rock di Scotland tertonggeng apabila semua penyimpan datang beratur untuk meminta wang simpanan mereka - permulaan hilangnya keyakinan orang ramai terhadap bank.
Orang ramai tidak yakin bahawa duit mereka akan selamat. Apabila orang ramai hilang keyakinan, maka silap mata bank akan kantoi. Orang ramai akan berbondong-bondong datang untuk mengeluarkan duit mereka.
Bank yang pandai main silap mata kini tidak dapat melakukan apa-apa melainkan mengaku diri mereka bankrap - inilah yang sedang berlaku sekarang.
Selama 30 tahun yang lalu, pelbagai bentuk mainan silap mata telah dilakukan oleh bank. Pemilik-pemilik ban ini telah mempengaruhi para ahli politik untuk melupuskan pelbagai larangan dan rintangan.
Mereka memungut riba dan mengumpul harta. Dengan harta kekayaan yang terkumpul hasil daripada memakan riba, para pemilik bank telah memberi sumbangan kepada politikus.
Persekongkolan ini cukup intim. Para pemilik bank ini tidak pernah muncul di khalayak umum. Tetapi kepentingan mereka terjamin melalui para politikus yang akan bersuara menjaga kepentingan mereka.
Pada 2009, banyak bank telah muflis. Lalu timbul persoalan. Ke mana perginya duit-duit ini? Harta kekayaan tidak hilang, ia hanya bertukar tangan. Duit ringgit milik orang ramai yang tersimpan di bank telah dijadikan modal untuk membuat lebih banyak untung.
Keuntungan ini disimpan. Penyimpan duit di bank boleh jatuh muflis, bank boleh diistihar bankrup tetapi tuan empunya bank tidak pernah bankrup.
Ada pelangan akan kalah judi di Genting tetapi syarikat Lim Goh Tong sampai sekarang tidak juga bankrup - ini juga hukum sistem kapitalis.
Tuesday, May 26, 2009
Dalang Kejatuhan Ekonomi Dunia
Akhirnya kerajaan mengakui bahawa negara kita sedang berhadapan dengan satu malapetaka ekonomi. Malapetaka ini bukan muncul dengan tiba-tiba.
Ia adalah hasil projek ekonomi yang telah dimulakan dari zaman presiden Amerika Syarikat, Ronald Reagan dan perdana menteri Britain, Margaret Thatcher – 25 tahun dahulu. Dasar ekonomi ini dinamakan globalisasi dan penswastaan.
Penswastaan diajukan oleh pemilik-pemilik bank di Wall Street dan City of London pada awal 1980-an dahulu. Kaum pemodal syarikat multinasional dan tuan empunya bank melalui dasar penswataan merancang satu strategi untuk membolot semua harta kakayaan dalam dunia ini.
Justeru penswastaan dikahwinkan dengan dasar globalisasi.
Dasar penswastaan ini dijual oleh Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) kepada negara-negara Asia, Afrika dan Latin Amerika. Pelbagai bentuk ganjaran dan tekanan telah diberikan oleh dua badan besar ini agar dasar penswastaan dan globalisasi ini diterima.
Maka muncullah ayat-ayat klise – dunia tanpa sempadan – dan pelbagai mantra yang karut-marut untuk melalaikan dan memerangkap warga dunia ketiga.
Apabila beruk melihat, maka beruk pun meniru. Justeru pada 1980-an dan 1990-an, dasar penswastaan ini ditiru bulat-bulat. Air, elektrik, penerbangan, hospital, jalan raya, sistem kumbahan, universiti dan pelbagai harta negara telah diswastakan.
Maka berbondong- bondonglah harta negara jatuh ke tangan individu atau syarikat individu.
Maka semakin dikenali perkataan-perkataan seperti pink form dan EPU (Unit Perancang Ekonomi) – yang dilihat sebagai mesin ATM untuk kroni-kroni.
Harta yang dimodalkan, didirikan dan dikendalikan oleh negara mula diagih-agihkan kepada kroni, anak bini dan kaum keluarga.
Globalisasi, penswastaan dan ekonomi terbuka hanyalah tipu helah IMF dan Bank Dunia. Dibelakang IMF dan Bank Dunia ini adalah tuan-tuan punya bank dan kaum pemodal Anglo-Amerika.
Sebenarnya dasar penswastaan dan globaisasi ini adalah dasar penjajahan bentuk baru. Ia merupakan sistem kolonialisma yang lebih licik dan lebih tersusun.
Melalui penswastaan dan globalisasi ini, wujud satu empayar baru yang bernama Pax Americana. Sama seperti empayar Pax Romana dan Pax Britannia – empayar baru ini memiliki tanah-tanah jajahan di seluruh dunia.
Perjanjian perniagaan dibuat, pasaran dibuka. Perjanjian ketenteraan diikat – pengkalan tentera darat, udara dan laut didirikan. Gedebe dan kaki-kaki busuk Asia, Afrika dan Amerika Latin – ramai yang bersedia bekerjasama untuk menjadi budak suruhan Pax Americana.
Sekali-sekala pemimpin negara dunia ketiga ini akan naik syahwat apabila diterima mengadap ke Rumah Putih. Jangan lupa bagaimana seorang 'orang penting' telah merasuah tukang lobi di Washington DC agar dapat masuk ke Rumah Putih untuk "mencium" tangan George W Bush pada 2002.
Melalui dasar penswataan dan ekonomi terbuka, modal Anglo-Amerika mula menerobos masuk. Modal-modal ini mula membeli harta-harta strategik seperti air, api, media, stesen TV, hospital, syarikat pengangkutan. Pemodal Anglo-Amerika ini secara licik mencari rakan niaga di kalangan warga tempatan yang memiliki jaringan dan hubungan kuasa politik.
Malah ahli-ahli politik akan diberi hak milik atau saham agar segala bentuk projek diluluskan.
Justeru di Malaysia, kita mula melihat jenama global MacDonald, Burger King, Tesco atau StarBucks berselirat mencari mangsa. Impak kedatangan syarikat-syarikat gergasi ini kepada peniaga tempatan jarang dan tidak pernah dibincangkan – malah tidak ada langsung penilian ekonomi dilakukan.
Dalam masa yang sama, undang-undang dan akta telah diluluskan di Parlimen untuk memastikan kepentingan kaum pemodal Anglo-Amerika ini akan terjaga dengan baik. Buruh tidak dibenarkan berpersatuan. Buruh dilarang mogok.
Jika ada pemimpin buruh yang menyusun kaum pekerja, ia akan ditahan. Tuntutan gaji minimum ditolak untuk memastikan kaum pemodal mendapat keuntungan maksimum.
Peniaga-peniaga kecil tempatan merasa tekanannya dan tidak mungkin dapat bersaing. Banyak yang bungkus dan tutup kedai. Kematian peniaga tempatan ini menggembirakan pemodal Anglo-Amerika ini kerana suasana ini cukup sihat untuk mereka meluaskan pasaran.
Selama 25 tahun semenjak dasar pasaran terbuka dan globalisasi ini diperkenalkan, kaum pemodal Anglo-Amerika ini kini telah berjaya mengawal hampir kesemua bahan mentah dunia. Mereka boleh menaikkan atau menurunkan harga bahan-bahan mentah ini.
Mereka berhujah bahawa yang menentukan turun naik harga ialah pasaran bebas. Hujah ini bohong! Merekalah di Wall Street dan di City of London yang menentukan turun naiknya harga bahan-bahan mentah.
Dari belakang panggung – tuan-tuan empunya bank dan gedung perniagan sentiasa merancang. Mereka mewujudkan kumpulan-kumpulan pemikir. Mereka mendirikan jaringan sokongan yang berselirat di seluruh dunia.
Mereka memberi dana kepada ribuan NGO di Asia, Afrika dan Amerika Latin untuk memastikan dasar dan falsafah ekonomi terbuka dan globalisasi mereka diterima. Tujuan mereka: terus membolot harta kekayaan dalam dunia ini.
Elit ekonomi dan tuan empunya bank amat jarang menampakkan diri mereka secara terbuka. Jaringan-jaringan kabel mereka tersusun secara rahsia. Cara mereka bekerja tidak jauh bezanya daripada cara Mafia atau kongsi gelap bergerak.
Organisasi seperti Bilderberg Group, Bohemian Grove, Masonic dan Illuminati adalah sarang dan tempat mereka berkumpul dan merancang. Merekalah yang memiliki kuasa untuk menaik atau menurunkan ahli-ahli politik - bukan sahaja di Amerika Syarikat dan London tetapi di seluruh dunia.
Di Rusia, pada satu ketika dahulu, mereka berjaya menaikkan Yeltsin. Lihat apa yang terjadi – habis harta negara lingkup. Di timur tengah, tidak ada Sheikh dan Emir yang berani bersuara. Lihat apa yang terjadi kepada Saddam.
Cuba di bawah Castro yang merdeka dan bebas terus dihuru-hara. Chavez dan Ahmadinejad dilihat sebagai musuh kerana tidak membenarkan modal Anglo-Amerika memporak-perandakan ekonomi negara mereka.
Hari ini dunia sedang dalam kesakitan. Jika kita sakit, maka kita wajib kenal pasti apakah penyakit kita itu. Jika telah diketahui, maka baru boleh diubati. Jika tersalah baca, maka tidak mungkin sakit itu dapat diubati.
Ada yang mengatakan bahawa krisis hari ini adalah krisis kewangan. Ada yang mengatakan bahawa krisis hari ini adalah krisis ekonomi. Ada yang menuduh krisis ini timbul kerana tuan punya bank dan para CEO tamak haloba. Ada yang menuduh bahawa krisis ini timbul kerana kurang kawalan.
Semua ini tidak salah. Tetapi semua ini hanyalah manifestasi daripada penyakit itu. Krisis yang kita hadapi hari ini adalah krisis kapitalisme. Sistem ekonomi kapitalisme telah sampai ke satu tahap bahawa ia tidak mungkin dapat bergerak lagi. Pengeluaran dan pemintaan telah tepu.
Contohnya: dunia telah padat dengan kereta – pembeli terakhir dari negara China. Apabila rakyat China tidak lagi membeli kereta maka Toyota, Nissan, General Motor jatuh muflis.
Atau: ketika ini warga Malaysia yang berupaya membeli kereta telah membeli kereta. Maka telah sampai ke tahap kalau Proton terus mengeluarkan kereta, pasti tidak ada lagi pembelinya.
Seribu satu macam galakan yang diberikan tidak juga akan melahirkan pembeli. Tidak lama lagi Proton akan muflis kalau ini berterusan.
Saturday, May 23, 2009
Dei Tambi! Sama sajalah!!
Shabery Chik tidak setuju gelaran samseng jalanan - utusanonline
23/05/2009 7:25pm
SEREMBAN 23 Mei — Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek tidak bersetuju istilah samseng jalanan digunakan bagi menggantikan gelaran mat rempit untuk merujuk kepada penunggang motosikal yang berlumba secara haram di jalan raya dan turut berkelakukan ganas.
“Gelaran samseng jalanan agak keterlaluan. Hanya segelintir sahaja dari mereka di kalangan mat rempit yang terlibat dengan jenayah manakala sebahagian besar lagi hanya anak muda biasa,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Baru-baru ini Ketua Trafik Bukit Aman, Datuk Abdul Aziz Yusof berkata istilah mat rempit perlu ditukar kepada samseng jalanan di samping dikenakan hukuman lebih berat termasuk penjara mandatori kepada golongan ini.
Gelaran samseng jalanan lebih sesuai kerana tindakan dan kelakuan ganas golongan itu boleh mengancam nyawa orang lain, katanya.
Ahmad Shabery berkata fenomena merempit merupakan satu ledakan budaya yang berlaku di mana-mana negara seperti yang dipaparkan dalam filem hollywood seperti Tokyo Drift dan The Fast and the Furious.
*hah! incik, mat rempit ka, samseng jalanan ka, sama saja!
*dua dua sudah bikin kacau sama orang!
*dei tambi! pi sibuk nak pkai nama samseng ka mat rempit ka buat apa? ape punya cerr nih??
*dei tambi! ini betul2 kelakar! kahkahkah!
*dari buat pertandingan cipta lagu 1Malaysia, lagi baguih buat pertandingan bubuh nama baru untuk mat rempit! harharhar!
*pi tanya sapa yang bagi depa semua candu hiburan tak sudah-sudah! sila angkat tangan untuk jawab! hahahaha
*oi..itu kena tanya Datuk Farid bos tv3 suku tuh..hahahaha
*dei tambi! kasi kesian sikit la sama itu mat rempit! kihkihkih
*depa suma nih lahir dari sistem sosial negara kita yang rosak
*sian, sian, sume salahkan mat rempit saja! hahahaha
*yang merosakkan remaja kita sampai jadi mat rempit tak pulak hangpa suma cantaskan!
*woi! apa punya lawak hangpa suma dok wat nih? kahkahkah
*pak menteri! cakap saja apa barang??? hihihihihi
-tokyo drift? motor buleh wat drift gak ker? hah? hah?

o.utan kiri : ooii! lawa siot!!
o. utan tengah : mane? mane? mane?
o.utan kiri : tu..tu yang tengah baca nih..lawa..
o.utan kanan : feeewiiit!!! aku punya tuh! aku punya!

