Monday, June 29, 2009

Untuk Mereka Yang Berdarah Muda




Tribute Buat Muhammad Gharran

Tika ini waktu emas mu,
Kau boleh pilih mau jadi apa,
Jadi penyagak, Jadi Mat Dangdut,
Hatta mau jadi Mat Sotong pun,
Itu pilihan engkau
Sebab ini masa emas mu

Tapi itu semua pilian pengecut
Itu semua pilihan orang tak berotak
Pengecut dan tak berotak tidak layak untuk nikmat kemudaan
Kerana nilai muda hanya buat bersenang dan menambah taulan yang bukan-bukan

Orang muda, Darah muda,
Mesti bangkit mesti teguh bangun,
Kerana natijah kemudaan adalah perjuangan
Nilai mudamu hanya untukmu menambah tinta revolusi
Bukan menulis berkati surat cinta pada cinta palsumu

Wahai yang muda remaja!
Nilai berani hanya pada berapa titis darah mu gugur
menolak kebobrokan pengkhianat Umat
Bukan berapa banyak penumbuk yang kau hadiahkan pada lawanmu di jalanan

Wahai yang berdarah panas membara!
Nilai keremajaanmu hanya pada bingkasnya engkau bangun menolak penindasan
Bukan pada ramainya dara dan teruna yang engkau cairkan

Hai yang berani!
Bangun!
Jangan jadi pengecut!

Jika engkau masih penakut,
Maka simpan sajalah muda mu itu,
Duduklah berdiam diri menunggu tuamu,
Kelak masa sampai tuamu,
Galikan kubur mu sendiri dan tinggal sahaja di situ,
Tunggulah saja sampai ajal menjemput mu

Sunday, June 28, 2009

Mari Mengira Bersama Pak Ungku!!! Kelas Percuma! mmg Syioookkkk....

U suke tak matematik?

I suke...

Tapikannnn,

I tak slalu tusyen matematik.....

U all ade tusyen???? ade? ade?

Jom kita blajar Matematik dlm Rancangan 'Mari Bermatematik'!!!!

Dihoskan Pak Ungku!!!! hahahahahahahaha


SAMBUNGAN BERITA TADI - Nak full bace dkt Malaysiakini. Meloya dgn Hairan pun buleh

Sementara Ungku Aziz dalam ucapannya selepas itu menyifatkan masalah dalam sistem pendidikan berlaku disebabkan terlalu banyak kompromi pemimpin politik.

"Banyak pemimpin politik luar dan dalam kabinet tentu hendak mencari kompromi. Orang politik suka berkompromi. Bila banyak komporomi, dia tidak boleh berpikir dengan rasional.

"Tambahan lagi, orang politik hendak cepat. Bagi saya, jalan singkat tidak ada," katanya yang kerap bercerita dan berjenaka dalam ucapannya.

Ungku Aziz menegaskan, tindakan kerajaan memperkenalkan PPSMI enam tahun lalu sebagai "tindakan gila" kerana Matematik menggunakan "bahasa simbol" – melalui angka, nombor dan penggunaan rumus tertentu.

"Apa bahasa matematik? Bahasa simbolik, angka, semua simbol. Matematik ini bahasa simbolik. Kalau guna bahasa Inggeris untuk belajar Matematik, pilih bahasa Inggeris untuk belajar Matematik, (itu tindakan) gila.

"Kalau hendak belajar bahasa Inggeris dengan bahasa matematik, bagaimana boleh belajar?" katanya di hadapan 150 pendidik sekitar Selangor.


jaga...jaga....

Pak Ungku sudah naik angin...

Pak Ungku sudah naik minyak..

jaga..jaga..

byk marah nti cepat tua....

harharharhar

Saturday, June 27, 2009

Pak Ghani ni Mmg Nak kene....


MB: Laksana PPSMI 'tidak beretika' - Malaysiakini


Tidak wajar sesuatu dasar pendidikan negara – seperti Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) – diputuskan berasaskan emosi dan persepsi, tanpa kajian dan perancangan rapi, kata menteri besar Johor.

"Adalah salah, tidak beretika dan tidak rasional jika dasar pendidikan negara diputuskan melalui prasangka, emosi, persepsi dan andaian individu-individu tertentu yang tidak mempunyai kepakaran dalam bidang pendidikan sebenarnya," kata Datuk Abdul Ghani Othman.

"Tidak ada mana-mana negara di dunia ini yang membentuk dasar pendidikannya secara mendadak, tanpa memikirkan kepentingan murid dan kesediaan guru, melainkan Malaysia."


ni MB negeri mana nih? Johor?

sapa org Johor? Mengaku cpat!

ade ka patutttttttttttttt!!!!!!

habis kontrak buku teks aq!!!!!!!!

kontrak bekal laptop sudah hangusssssss....

tertonggeng-tonggeng, terkinja-kinja, terlompat-lompat

tak sempat kumpul untung

Pak Ghani ni potong line lah!!!!

Ini mmg tak masyuuuuuuukkkkkk....

Friday, June 26, 2009

Media Daulahku

Media Daulahku Media Impianku
Kuat mengegar persis meriam kapal penakluk
Tajam lebih bersinar bak pedang pendekar
Menusuk jauh dari duri sembilu

Itu media daulahku
Itu media impianku

tapi daulahku belum tiba
tapi impianku belum tercipta

************************************

Media kini media keparat
Lngkah mu longlai tak sekuat meriam
Tajam mu tumpul lagi berkarat
Tusuk mu tak sakit, sekadar mencuit

Kau fitnh si dia, kau fitnah menipu
Kau bohongkan rakyat, kau bohongkan
Kau gossip si polan, kau gossip murahan
Kau bodohkan umat, kau bodohkan

*************************************

Jangan media jangan
Hentikan sasau mu sebelum gila

Tolong media tolong
Fitnah jahat agenda buruk jangan diteruskan

Sila media sila
Berubah sebelum diubah

media impianku media penerus fikrah
media impianku media pembangun umat
media impianku media penegak daulah

Untuk ALLAH, Untuk Daulah, Untuk Umat

Wednesday, June 24, 2009

Cayalah!!! Orang Manek Urai buley Pi Cuti ke Siam!!

Orang Manek Urai buleh cuti.

Sampai bila? Sampai Pilihan Raya habis!

Yang nak berikitikaf buleh beriktikaf siang sampai ke malam ,
Yang nak melancong bulehlah pergi bersiap,
Yang nak berbini dua silakan ke selatan Siam,
Yang nak berdemo buleh sedia ke lokap

Pasal apa boleh cuti???

Pokok getah di kebun siapa nak toreh?
Itik di reban siapa nak bagi makan?

U ni..Kan I dah cakap..Orang Manek Urai tak perlu menoreh sepanjang tempoh kempen.

Kenapa U tanya? Baca lah Berita nih!



Ahmad Maslan Turun Padang Untuk Bawa Perubahan - Utusan Meloya

KUALA KRAI 14 Jun - Ketua Penerangan UMNO, Ahmad Maslan turun padang baru-baru ini untuk menyelami sendiri denyut nadi rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai, sejajar dengan kehendak Perdana Menteri dan Presiden parti, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mahukan ahli politik berkhidmat demi kepentingan rakyat.

Ketika berada di DUN Manek Urai, Ahmad menyertai penduduk setempat bergotong-royong membersihkan jalan dan kawasan perkuburan selain turut serta menoreh getah, iaitu punca rezeki 70 peratus penduduk di kawasan itu.

"Kaedah rapat dengan rakyat serta cuba menyelesaikan masalah mereka ini tentunya akan dinilai dengan baik ketika hari mengundi nanti," kata Ahmad dalam satu kenyataan kepada Bernama.







kan I dah cakapppp
U tak percayaaaa
U ni degil lah
U ni 'stubborn' lah

U bacalah Utusan! Jangan asyik baca Harakah saja!
hahahahahahaha

I suka baca Berita Harian.
Bahagian keputusan Nombor Ekor.

Friday, June 19, 2009

Gila Ekor

"Ade satu orang bapak di sekolah. Dia gune duit bantuan persekolahan anaknya untuk main nombor ekor," kata Ibu.

"..............................," saya diam saja.

Itukan duit sumbangan untuk murid-murid miskin.

Ada lagi manusia spesis ini rupanya.

Tapi, saya terfikir dalam hati:

"Menang ke Pak Cik tu?"

Thursday, June 18, 2009

Kerja Bodoh, Perangai Huduh - Islam Makin Jauh Dari Fikrah Melayu

Pagi-pagi di kampung memang meriah. Seusai saja Subuh, Umbai sudah mula sibuk.

Pepagian menghantar adik-adik ke sekolah adalah satu rutin harian di rumah. Seumpama seorang 'drebar', ke mana disuruh, di situ saya pergi. Jalan-jalan ke sekolah pula sibuk dengan kereta dan bas sekolah, menjadikan itu satu pekerjaan yang saya agak berat untuk melakukannya.

Kerap, selepas menyelesaikan urusan rutin seorang 'drebar', saya singgah di warung kampung. Orang-orang tua memang ramai di situ. Cina, Melayu, Mat Indon, sama-sama makan harmoni sambil melayan udara pagi yang sejuk. Udara yang selalu saja menjadi ranataian paling kuat menghalang untuk ke Masjid berjemaah Subuh.

Jika hari cuti, saya akan ke warung dengan ayah. Ayah pula setiap kali ke warung, pasti dibawanya akhbar sekali. Itu tak menjadi masalah. Berita Hairan ataupun Utusan Meloya tidak mengapa.

Masalah cuma timbul bila Ayah membawa sekali akhbar 'Harakah'.

Saya bukan seorang ahli Pas. Ayah pula memang tegar perjuangan PASnya. Dan kekadang selalu terjadi perdebatan antara ayah dan saya setiap kali saya mengkritik beberapa dasar PAS yang saya rasa kurang sesuai dengan 'jenama' Islam yang dibawa. Jadi perjalanan kami di dalam kereta jarang sunyi atau menjadi perjalanan yang mengantukkan biji mata.

Oh, apa dia massalah yang saya maksudkan itu?

Masalahnya, bila saya ingin membawa sekali Harakah keluar dari kereta, pasti Ayah menegur.

"Jangan! Tu tempat orang **** yang 'berdentinnng' (berdentinnnnng maksudnya tegar). Kang tak pasal-pasal kang," kata Ayah. Bimbang nanti dipandang serong oleh mereka yang sedang minum-minum, saya tinggalkan saja Harakah dalam kereta.

Ada warung penuh dengan orang Umno. Ada warung penuh dengan orang PAS. Ada warung sama penuh. Ada juga 'warung' untuk kaki dangdut, khususnya Melayu. Itu di Semabok.

Ayah tidak menyukai perpecahan yang semacam rupa.

Jadi, untuk membaca Harakah, ada warung lain.

Politik kampung tidak sama dengan di bandar. Di bandar, masyarakat ramai yang sudah berpandangan jauh. Punyai akal yang lebih intelek corak pemikirannya.

Di kampung, politiknya lebih sukar dan kompleks sebenarnya. Politik kampung ialah politik perpecahan. Bukan politik mencetus perpaduan. Orang kampung ramai yang mudah dibeli. Ramai yang lebih rela jadi kuli 'duit'.

Bunyi 'kaa ciing!' lebih mendodoikan dari seruan Azan mengajak berkumpul di masjid menghadap Yang Esa. Pernah saya tulis tentang ini. Cerita pasal duit dan kain batik.

Belum lagi bila dikatakan perebutan jawatan ahli jawatankuasa masjid. Bagi hamba-hamba politik, Masjid merupakan medan terbaik menaikkan pengaruh. Untung-untung nanti dipilih jadi ahli JKKK (Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung).

Atuk saya biasa menyebut JKKKKKKKKKKK... Sengaja dipanjangkan huruf K itu, dengan niat memperli.

Kalau pandai melobi diri, boleh jadi pengganti YB sekarang.

Masakan tidak. Sewaktu kelas agama, amat sukar sekali kita nampak wajah-wajah ini. Wajah-wajah pura-pura suci ini cuma muncul di kala musim pemilihan mesyuarat agung masjid.

Orang ini sewaktu solat berjemaah kita tidak nampak batang hidung mancung tapi tidak 'hensem' mereka. Kita akan nampak kain pelikat mereka 'mengerbang' di masjid sewaktu ahli baru AJK masjid akan dilantik.

Di masjid, satu saja jawatan yang orang ramai malas hendak merebutnya. Sebenarnya inilah jawatan paling bernilai. Jawatan ini tidak memerlukan seseorang itu untuk melobi, apatah lagi mengadakan kenduri kendara atau menghadiahkan t shirt percuma.

Jawatan itu ialah jawatan menjadi 'MAKMUM'. Entah, orang tidak ingin merebutkan yang ini. Hairan.

Monday, June 15, 2009

BELASUNGKAWA - Sambutlah Panji Itu!

Innalillah.. Sudah sampai janji ALLAH pada dua saudara,

1. Dr. Fathi Yakan, aktivis pergerakan Islam tersohor telah pulang ke rahmatullah pada usia 76 tahun. Beliau merupakan pengarang buku “Mengapa Saya Berintima’ dengan Islam?” yang menjadi rujukan pengenalan kepada aktivis pergerakan Islam seluruh dunia.

Almarhum Dr. Fathi juga merupakan di antara ulama’ dan sarjana besar dunia Islam. Penulisan dan kuliahnya menzahirkan ketegasan.

2. ALLAYARHAM MUHAMMAD AMMAR BIN ZULKIFLI, pelajar perubatan dari Universiti Kaherah, di Mesir telah kembali ke rahmatullah dalam satu kemalangan jalan raya.

klik INI dan INI utk mengenali Ammar dan siapa dia sang pejuang muda ini.

SEMOGA ALLAH MENCUCURI RAHMAT KE ATAS ROH KEDUA-DUA INSAN MULIA INI.

Yang pergi biarlah pergi,
Yang hidup perlu terus berbakti,
Agar Islam terus dijulang tinggi,
Agar mati kita dalam dakapan kasih Ilahi.

Selamat Tinggal DR FATHI, Selamat Tinggal MUHAMMAD AMMAR!
Panji-panji yang kalian lepaskan, InsyaALLAH kami sedia menyambutnya!

Saturday, June 13, 2009

Cerita PPSMI

PPSMI benar-benar bikin kecoh! Satu Malaysia heboh memperkatakannya. Ini tidak mengira lapisan masyarakat. Dari Sasterawan Negara kepada warga pendidik, malah Mak Cik Felda pun sekarang menjadikan ini termasuk dalam intipati borak-borak mereka dengan jiran sebelah.

Dan, belum habis lagi PPSMI diselesaikan oleh Tok Menteri Pelajaran yang baru, muncul pula isu wajib lulus BI dalam SPM. Tapi, yang saya ingin katakan disini ialah tentang PPSMI. Kalau sebelum ini saya berkokok di blog kawan saya mengenai isu ini, saya rasa ada baiknya saya tulis saja di sini.

Begini ceritanya.

Pada awal cadangan PPSMI ini, ianya telah dicadangkan agar dilaksanakan secara berperingkat-peringkat. Maksudnya, ianya tidak akan dilaksanakan secara terus kepada setiap pelajar.

Kemudian, sebilangan besar warga pendidik membntahnya.Mereka mahu pengajaran Sains dan Matematik diteruskan dalam B Melayu. Maka, Tun Dr Mahathir telah mengambil langkah drastic dengan melaksanakannya dasar ini secara terus. Kita kenal beliau sebagai seorang tokoh terhormat yang amat tegas dan tidak akan berpatah balik ke belakang setelah membuat sebarang keputusan. Itu memang dia. Jarang dia akan menarik balik sebarang keputusan yang telah dibuatnya.

Maka, PPSMI ini terus dijalankan dan setiap pelajar akan mempelajari Sains dan Matematik dalam Bahasa nggeris. Jadi, berduyun-duyunlah cikgu dihantar menjalani kusus Inggeris.

Selain itu, berkepul-kepul datang pihak yang mencari-cari dan mengemis-ngemis kontrak membekalkan alat ini dan itu untuk PPSMI. Bagi mereka, PPSMI ini satu peluang perniagaan baru.

Ada yang dapat kontrak membekalkan komputer riba. Ada yang dapat kontrak memperbaiki komputer yang rosak. Ada dapat kontrak bekal alat bantu mengajar. Pendek kata, jika dasar ini dibatalkan, maka pasti terlompat-lompat bagai murai tercabut ekor mereka nanti!

Maaf Tun. Saya menghormati beliau sebagai antara pemimpin yang berkaliber dalam sejarah Malaysia. Tetapi, saya bertegas mengatakan bahawa saya amat tidak bersetuju dengan dasar ini.

Pedulikan perbincangan meja bulat yang dikatakan telah membincangkan dasar ini. Saya sendiri ketawa terbahak-bahak sehingga mengalir air mata di celah pipi mendengar pendedahan yang dibuat Datuk Muhyiddin tentang anggota-anggota meja bulat ini. Antara yang diundang dalam rundingan meja bulat ini ialah seorang lelaki yang tak pandai bercakap Melayu secara fasih. Selain itu, ada juga seorang ibu yang anaknya masih bersekolah. Budak yang masih belum bersunat pun tahu mereka ini tidak layak membincangkan PPSMI dari segi ilmiahnya.

Bagi pendapat kosong macam saya bolehlah!

Kalau inilah ahlinya, maka perbincangan meja bulat PPSMI ini sudah hilang kredibilitinya. Saya puji Datuk Muhyiddin kali ini disebabkan dia jujur dalam mendedahkan kepincangan ‘meja bulat PPSMI’.

Saya berpegang teguh pada pendapat ini. PPSMI WAJIB dikaji semula pelaksanaannya.

Ini bukan disebabkan alasan pelajar malas belajar dalam bahasa INGGERIS. Itu pendapat yang keras dan saya tidak bersetuju. Kita tidak boleh ego di sini. Adalah tidak wajar meletakkan kegagalan mereka dalam PPSMI kerana mereka malas belajar. Janganlah kerana sekolompok dari kita yang rajin telah berjaya dalam dasar ini, kita melupakan beberapa kelompok yang memang rajin tetapi tidak boleh memahami Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris.

Pelajar bukan malas atau tidak mahu berubah kepada bahasa Inggeris. Budak-budak estet dan felda bukannya malas. Ramai yang rajin. Saya bukan cakap kosong sahaja di sini. Mereka cuma tidak boleh melakukannya. Lebih-lebih lagi bila ianya dilaksanakan secara terus dan tanpa berperingkat-peringkat seperti yang saya katakan sebelum ini.

Bayangkan, jika dalam Bahasa Melayu pun mereka sukar hendak menelannya, apatah lagi dalam Bahasa Inggeris! Bukankah jika ia diteruskan dalam Bahsa Melayu, sekurang-kurannya mereka dapat juga memahami sebahagian daripada ilmu-ilmu ini. Itu lebih baik daripada tidak tahu apa-apa.

Malah, ramai pelajar telah kehilangan minat dalam bidang Sains. Bukan kerana mereka malas. Tidak. Masakan mereka tidak hilang minat jikalau mereka tidak faham sepatah apa pun yang Guru ajar di hadapan? Adakah kerana hendak meningkatkan tahap Bahasa Inggeris, maka perlu kita korbankan minat mereka ini?

Saya lontarkan lagi pertanyaan di sini. Sila sebutkan mana-mana Tamadun Dunia yang telah berjaya dalam bidang kajian Sains apabila pengajaran awal Sains diajar bukan dalam bahasa ibunda mereka?

Jawapannya tidak ada.

Jepun sebagai contoh paling dekat.

Malah, majoriti pemegang anugerah Nobel menghasilkan tesis kajian DALAM BAHASA MEREKA SENDIRI. Tidak kiralah mereka warga Jerman atau Australia atau Uganda sekalipun.

Situasi ini amat pelik kerana ia benar-benar memalukan kita. Ia seolah-olah menunjukkan yang kita tidak yakin akan kebolehan Bahasa Melayu sebagai medium pengantar dalam pembelajaran bidang Sains. Setiap bahasa berkebolehan untuk menjadi bahasa ilmu. Bahasa Melayu juga tidak terkecuali.

SEPATUTNYA, jika benar kita mahu berusaha meningkatkan pencapaian pelajar dalam Bahasa Inggeris, maka, SEHARUSNYA pengajaran matapelajaran bahasa Inggeris itu sendiri yang harus dibaiki.

Bukannya dengan mengorbankan subjek Sains dan Matematik.

Sila ambil perhatian. Satu kajian telah dibuat oleh sepasukan pengkaji yang mewakili IPTA2 di Malaysia ini. Dalam kajian mereka, adalah didapati bahawa PPSMI hanya menyumbang TIDAK SAMPAI 10% dalam penguasan Bahasa Inggeris para pelajar.

Maka, hasil kajian ini kita hendak campak ke mana? Saya berani katakan yang mereka jauh lebih berpengalaman dan berkredibiliti dari perwakilan dalam meja bulat tadi. Sepatutnya pendapat-pendapat cendiakawan ini kita tidak harus ketepikan. Kerajaan sepatutnya mengadakan kajian yang lebih mendalam tentang PPSMI ini dengan meminta nasihat dari pakar-pakar pendidikan negara.

Penipu kalau dikatakan PPSMI berjaya hanya berdasarkan jumlah lulus dalam SPM yang lepas. Jangan berbohong pada rakyat. Jumlah kelulusan telah meningkat hanya kerana gred dan skala pemarkahan Sains dan Matematik telah diturunkan.
Jika skala ini tidak diturunkan, alamat ramailah pelajar yang lingkup. Ramailah yang akan ‘Balik Kampung Tanam Jagung’.

Dan ketika itu satu negara akan tahu bahawa PPSMI telah gagal dan ramai pelajar yang terkorban disebabkannya. Maka, demi kepentingan politik, maka skalanya diturunkan. Itulah politik Malaysia. Sedih, tapi itulah hakikatnya. Wajib untuk kita memahaminya.

Kesannya mungkin tidak kelihatan sekarang. Ianya mungkin kelihatan 10 tahun akan datang. Ketika negara lain mula melangkah maju ke depan, generasi kita masih teraba-raba untuk mengenali Prinsip Halaju ataupun Ilmu Pengkamiran.

A Samad Said, Sasterawan Negara pernah berikrar bahawa beliau dan rakan-rakan yang lain akan menentang dasar ini sehingga kiamat sekalipun. Malah, mereka juga bersedia jikalau gelaran Sasterawan Negara mereka ditarik .

*perbincangan tidak seharusnya menimbulkan permusuhan. Kita bebas untuk berbeza pendapat dalam sesetengah isu. Harap faham

Monday, June 8, 2009

Syabas, Tuan! Tuan pasti Menang!

Kopi sudah siap, Tuan
bersama roti bakar yang masih berasap
silakan Tuan santap
da juga telur setengah masak
Terima kasih Tuan, hamba masih kenyang
lahap nasi dingin semalam
bersama ikan kering yang nampak tulang

Hamba pergi kerja dulu, Tuan
membina sebuah lagi mercu besar mewah
tinggi
tempat Tuan bersemayam dan menabur janji
nanti Tuan juga yang akan senang
bermesyuarat dan turunkan tandatangan

Hamba tidak mahu cuti, Tuan
berkat kuasa keramat Tuan
hamba larat bekerja siang malam
Ikhlas untuk kembungkan poket Tuan

Bila hamba mampus kelak
Tuan tidak perlu bimbang
untuk mencari ganti sesetia hamba
yang banyak melata
dalam negara ciptaan Tuan
yang sudah lama keliru
antara lapar dan kenyang
Syabas, Tuan pasti menang

*tolng fahamkn, ni kawe kutip...
kutip kat mane?
x payah tau..nanti org ckp belakang2 nti, hahahaha...

Friday, June 5, 2009

MAKA HILANGLAH MELAYU ITU (AKU PUN MELAYU)

Aku Pun Melayu,
Sampai Bila-bila pun Melayu,
Kalau bumi terbelah dua,
Kalau lautan jadi kering,
Kalau kucing tumbuh tanduknya,
Aku tetap Melayu,
Sampai kiamat pun tetap Melayu
Kerna Takdir Yang Esa lahirku jadi Melayu



Tapi,
Sampai dunia saja aku Melayu,
Sampai akhir kalam saja aku Melayu,
Sampai Labucci jadi Kafan saja aku Melayu,
Sampai itu saja aku Melayu,
Kerna ku tahu,
Tika Izrael memanggilku,
Tika Dia Menyeruku namaku,
Maka Hilanglah Melayu itu

Thursday, June 4, 2009

Ketuanan Islam @ Ketuanan Melayu?

Sekarang ini isu Ketuanan Melayu hangat disebut-sebut. Yang selama ini senyap dan diam tiba-tiba membuka mulut. Kontraktor-kontrakror Kelas F yang merasakan projek mereka terancam mula bersabda. Kaki-kaki busuk dan gedebe-gedebe yang selama ini sibuk melobi sana-sini alih-alih mula berkokok.

Semua ini tak lain tak bukan hasil penangan 8 Mac 2008. Orang pembangkang kata ini dnegan nama ‘Tsunami Politik’. Mungkin ya mungkin tidak kerana segala-galanya berkemungkinan dalam politik Malaysia. Jatuh menjatuh serta keji mengeji adalah amalan para pengganut politik Machiavelli, bapa ‘Real Politics’ itu.

Ketuanan Melayu dan Ketuanan Islam, samakah ia? Ada orang berkata, Melayu itu Islam maka ketuanan Melayu itu sama dengan Ketuanan Islam. Melayu itu Islam adalah salah satu fasal yang disebut dalam perlembagaan.

Perlembagaan lslam, iatu Al-Quran dan As-Sunnah tidak menyebut begitu. Jangan silap kerana Melayu tidak semestinya Islam. Itu hanya dikatakan oleh perlembagaan Malaysia yang diacu mengikut acuan Lord Reid, sepertimana yang kita belajar dalam matapelajaran Sejarah.

Muhammad bin Abdullah, yang menerima Wahyu dari Allah SWT pun tidak berani menulis dalam piagam Madinah bahawa orang Arab itu samalah ertinya dengan Orang Islam. Kerana Baginda SAW tahu bahawa Islam itu bukan dilihat pada bangsa yang mengamalkannya tetapi Islam itu dilihat pada sejauh mana seseorang itu beriman pada ALLAH dan RasulNya.

Tapi, perlembagaan kita berani menulisnya begitu. Itu saya tidak mahu ulas. Tak takut ISA ke?

Maka orang bertanya, apa bezanya? Sudah tentu saya menjawab dengan 100 peratus yakin bahawa Ketuanan Melayu dan Ketuanan Islam sama sekali berbeza.
Ketuanan Melayu mengatakan bahawa orang Melayu ialah Tuan di bumi Malaya ini. Ketuanan Islam pula mengatakan bahawa orang Cina, orang Melayu, Orang Putih, Orang Iban,dan bermacam-macam Orang lagi (kecuali Orang-orang. Itu digunakan untuk menghalau burung di sawah padi, bagi siapa yang tak tahu) , asalkan mereka ialah Muslim, maka merekalah tuan di negeri-negeri yang adanya kekuasan Islam di situ. Maknanya, setiap Muslim berhak mendapatkan keistimewaan di bawah pemerintahan Islam tanpa mengira bangsa.

Jangan marah saya berkata begitu. Kerana inilah apa dilaksanakan ketika pemerintahan Rasulullah SAW dan Khulafa Ar Rasyidin. Marah bereerti marah juga dengan Baginda dan sahabat Baginda yang empat itu (RA) kerana melaksanaknanya. Lagipun, marah akan menyebabkan seseorang jadi cepat tua.

Adakah orang-orang Melayu perlu takut jika Ketuanan Islam menggantikan Ketuanan Melayu? Tidak. Kita tidak perlu takut. Kerana hak-hak orang Melayu juga akan turut terjamin di samping kepentingan saudara seagama dari kaum lain turut terjaga.
Tanah-tanah orang Melayu turut terjamin dan tidak akan dirampas walau seinci pun. Kerana Islam itu bersifat adil dan perbuatan menjual tanah-tanah hak milik orang Melayu adalah satu jenayah.

Sebab itu kita naik pelik lagi biul melihat ada pihak yang selama ini melaungkan ketuanan Melayu telah menjual beribu-ribu hektar tanah kepada tauke-tauke dari Singapura. Dan tauke-tauke kaki busuk ini kafir, bukannya Islam. Lebih-lebih jika Lim Goh Tong yang membelinya lalu menukarnya kepada pusat Kasino. Dan, beribu-ribu malah berjuta-juta lagi duit orang Melayu habis hangus kerana kalah judi di Genting sana. Tak semua orang tahu bermain Poker kerana ia tidak semudah seperti main tikam- tikam yang dilakukan oleh budak-budak kecil di kampung saya. Mereka kecil-kecil lagi sudah diajar berjudi maka apabila besar nanti buleh meneruskan warisan bermain Sport Toto 4D dan Da Ma Cai warisan ayahanda mereka.

Dalam ketuanan Islam, orang Melayu yang miskin akan juga lebih terjamin masa depannya. Kerana, apabila Ketuanan Islam diguna pakai, maka institusi zakat akan sekaligus menjadi lebih lancar dan telus serta bebas dari korupsi dan penyelewengan. Umum tahu. Rakyat pun tahu. Rakyat jangan dibodohkan. Pembohong besar kalau kata duit zakat tidak mencukupi. Institusi zkat kita memperolehi perolehan yang lebih dari cukup untuk mengagihkannya kepada rakyat-rakyat miskin terutamanya Melayu dan muala-mualaf yang baru memeluk Islam.

Tapi, masih ramai yang miskin menagih simpati. Kita pernah dengar kisah mualaf yang akhirnya kembali ke agama asal selepas terpaksa mengemis bantuan dari pihak gereja lantaran ‘bahalul’nya cara penagihan wang zakat di Malaysia. Di sana-sini wujudnya ‘penyamun-penyamun tarbus’ yang senyap-senyap meng’songlap’ duit-duit itu. Songlap tidak semestinya dengan mengambil duit itu secara ‘by hand’ atau dengan cara menggelapkan duit-duit dalam akaun. Songlap duit rakyat boleh juga berlaku dengan melaburkan dan menghanyutykan wang itu ke dalam projek-projek yang membazir.

Negara Islam semuanya kaya raya. Kalau tak, Dubai tidak mungkin boleh membina Bangunan Burj Dubai. Arab Saudi pun sama. Kalau tidak, istana Raja Saudi tidak jadi sebesar sekarang. Maka, jika konsep ketuanan Islam dipakai dan sekaligus dapat kembali menyatukan seluruh umat manusia berbilang bangsa dan warna kulit ke da lam Islam, bukankah kita semua juga yang untung? Bukankah nanti harta-harta itu akan turut dikongsi oleh semua Muslim dan bukannya oleh Pak-pak Arab Mabuk di Dubai sana sahaja?

Melayu, Cina, India, serta Kadazan yang Muslim pasti akan menikmati kehidupan yang lebih aman makmur di bawah pemerintahan yang mengamalkan konsep Ketuanan Islam ini dan mengenepikan segala fahaman raasis yang tak sudah-sudah.

Wednesday, June 3, 2009

Melayu Hanya Akan Jadi Mulia Jika Mengambil Islam Sebagai Wadah Perjuangan

13 Mei satu tarikh yang sangat memeritkan dalam sejarah di Malaysia. Tarikh ini sangat sensitive sehinggakan ia menjadi satu ‘taboo’ bagi kita untuk membincangkannya secara terbuka. Bukan apa, Cuma bimbangkan luka lama berdarah kembali.

Bagi sesiapa yang tidak tahu, atau mungkin terlupa, atau mungkin tidak pernah belajar subjek Sejarah di sekolah menengah sebelum ini, 13 Mei ialah peristiwa di mana berlakunya rusuhan dan hura-hara antara Kaum yang menyebabkan darurat diisytihar di seluruh Malaysia. Dan, peristiwa ini juga menjadi penyebab kepada terpisahnya Singapura dari gagasan Malaysia.
Rusuhan kaum ini merupakan satu titik hitam yang kotor serta membusukkan sejarah negara. Ianya merupakan satu hasil dari perjuangan – perjuangan assabiyah yang tidak sudah-sudah.

Sikap Assabiyah merupakan satu tragedy kepada peradaban manusia. Masyarakat Arab pernah berperang sesama sendiri berpuluh-puluh tahun kerana sikap ini. Orang-orang di India sampai sekarang tidak aman-aman kerana berjuang mempertahankan kasta-kasta rekaan mereka sendiri.

Di Malaysia, sikap ini menyebabkan orang Melayu sering meragui kejujuran orang Cina dan Orang Cina sering kali mempunyai impresi yang burukk tentang msyarakat Melayu.Dan kadang kala, sikap ini bukan hanya timbul di kalangan dua bangsa yang berbeza. Ia juga boleh lahir atas sebab perbezaan negara.

Pernah dengar cerita tentang seorang pengadil karate Indonesia yang dibelasah oleh polis Malaysia hingga menyebabkan berlakunya rusuhan oleh sebilangan rakyat Indonesia? Kononnya rakyat di Malaysia ganas dan bermacam-macam lagi tohmahan mereka lemparkan. Kalaulah pengadil karate itu datang dari Jordan atau Uganda atau Nigeria, adakah mereka akan melakukan demonstarsi membela seperti yang mereka lakukan sebelum ini? Tidak, sama sekali tidak.

Atau, kisah Mubarak Si Pengkhianat yang tidak menghiraukan nasib rakyat Arab di Palestin yang diganyang habis-habisan di sana? Dengan alasan agenda di Mesir sama sekali tiada kaitan dengan yang di seberang sana. Ini semua manifestasi dari sikap Assabiyah itu.

Apakah sikap Assabiyah ini sebenarynya? Assabiyah merupakan satu sikap di mana para pemuja dan pengamalnya sanggup bertikam lidah, bermusuh, malahan sanggup berperang untuk menjadikan kaumnya berada di atas kaum yang lain. Jadi, jika selepas ini kita terdengar, atau terbaca di dada-dada akhbar tentang ‘Perkauman’, maka itulah Assabiyah. Secara mudahnya saya katakan, Perkauman @ Perjuaangan bermotifkan kebangsaan merupakan Assabiyah.

Perjuangan yang berteraskan kebangsaan atau assabiyah merupakan satu perjuangan yang sangat sempit lagi tidak mendatangkan penyelesain. Setiap bangsa ingin membuktikan bahawa bangsa mereka yang terbaik atau lebih ‘Superior’ dari yang lain.

Kerana itulah Nabi Muhammad SAW melaungkan seruan Islam. Islam untuk semua. Itulah yang Nabi kita seru dan laungkan pada ketika itu. Seorang Cina boleh jadi Islam. Begitu juga India. Akan tetapi Cina tidak boleh jadi Melayu dan Melayu tidak boleh jadi Cina.

Nabi tidak melaungkan seruan kebangsaan walaupun Baginda sedar yang bangsa Arab telah ditindas dengan teruk oleh Yahudi di tanah mereka sendiri iatu Tanah Arab.
Nabi tidak menyeru bangsa Arab agar bersatu untu berjuang bermatian-matian agar hak mereka di tanah Arab terjamin. Demi Allah, tidak sekali pun pernah Nabi serukannya!

Seseorang itu sama sekali tidak bisa memilih untuk dilahirkan dalam bangsa apa. Dan bangsa ini bersifat ‘permanent’, iani kekal. Anda Melayu, maka sampai kiamat pun tetap Melayu. Seorang Melayu akan nampak bodoh jika berusaha memakai pakaian Barat atau bercakap dengan ‘slang’ Mat Saleh hanya kerana untuk nampak seperti ‘English Man’. Seorang India akan nampak menakutkan lagi mengerikan jika memakai bedak dengan tebal semata-mata ingin kelihatan seperti Orang Cina.

Maka di situ hadirlah Islam sebagai wadah penyatuan. Dalam Islam setiap bangsa adalah sama dan yang membezakan antara mereka ialah Takwa. Seorang Arab tiada kelebihan atas seorang Melayu dan begitu juga sebaliknya.

Suka ingin saya ingatkan bahawa tulisan saya ini bukannya bermaksud saya ini seorang yang tidak prihatin akan nasib bangsa Melayu atau seorang yang anti perjuangan Melayu. Kata orang, tak patriotiklah! Sehingga dulu timbul tuduhan mengatakan saya ini anti-Melayu. Tidak, sama sekali tidak. Demi Allah. Bodohlah saya jika bersikap begitu kerana saya dilahirkan sebagai Melayu. Mak dan Ayah saya Melayu. Kawan-kawan saya pun ramai Melayu. Mana mungkin saya membenci rumpun bangsa saya sendiri?Malah, Islam sangat menyukai sikap membantu saudara seBangsa.

Apa yang ingin saya katakan di sini ialah sesuatu bangsa itu hanya akan menjadi mulia jika ia memperjuangkan Islam. Bangsa itu tidak akan menjadi mulia sampai bila-bila jika meneruskan prinsip perjuangan kebangsaan. Mulianya Arab dahulu kerana mereka memperjuangkan Islam bukannya kerana mereka sibuk melaungkan slogan untuk memartabatkan orang Arab. Hinanya mereka sekarang kerana tidak lagi berpegang pada Islam sebaliknya menegakkan perjuangan ala Assabiyah.

Jadi, jika Melayu ingin jadi bangsa yang mulia, maka angkatlah Islam sebagai wadah perjuangan. Bukannya sibuk dengan agenda menjadikan Melayu kembali unggul di Nusantara. Jika bangsa Melayu itu memperjuangkan Islam, maka dengan sendirinya bangsanya akan menjadi hebat dan mulia. Itu hakikatnya!

Mari renung sejenak apa yang berlaku sewaktu kejatuhan Uthmaniah. Tentera-tentera Pembebasan Arab telah memainkan peranan yang penting dalam menumbangkan kerajaan Islam agung itu. Mereka telah melaungkan slogan-slogan yang menaikkan semangat orang Arab untuk berjuang bagi bangsa mereka. Kata mereka, orang Arab lebih mulia dan lebih berhak memerintah tanah suci Makkah berbanding orang Turki. Orang Arab lebih berhak ke atas tanah Arab kerana mereka penduduk asal di situ. Padahal, bukankah orang Turki itupun orang islam dan mempunyai hak juga ke atas bumi itu?

Di akhirnya kita lihat bagaimana kerajaan Uthmaniah tumbang disebabkan dua gerakan Assabiyah. Satu di Turki di bawah pimpinan Mustafa Kemal Yang Terkutuk dan satu lagi di Arab Saudi pimpinan Syed Faisal si Tali Barut British!


*ketuanan Islam atau Ketuanan Melayu. Kalian pilih yang mana?

Monday, June 1, 2009

Bagaimana Ini Al Fateh Lakukan?

Husam Musa

Hari ini, 546 tahun yang silam, Muhammad bin Murad melukir satu sejarah dengan menawan kota yang sangat kuat pertahanannya - Konstantinapole. Pada ketika ini Presiden PAS Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, telah pun berada di Kota Istanbul untuk menghadiri sambutan ulangtahun upacara yang amat bersejarah ini.
(tulisan ini bukan bermotifkan politik..harap faham - Amr)


Tulisan ini cuba melihat bagaimana seorang pemimpin seperti Muhamad Murad yang kemudiannya diberikan gelaran Muhammad Al Fatih, telah berjaya dilahirkan. Adakah di sana satu metod tertentu untuk mencetak pemimpin seperti beliau dan bagaimanakah cara untuk berbuat demikian.

Peribadi dan kepimpinan Muhammad Al Fatih menunjukkan beliau mempunyai ciri berikut;

a. Asuhan dan disiplin Islam yang kuat
b. Mempunyai matlamat hidup yang ingin dijayakan c. Kehendak yang kuat
d. Sabar dan ketahanan ruhani yang kuat
e. Pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan untuk misinya, atau mendapatkan bantuan pakar dalam bidang masing-masing bagi tujuan melengkapkan skil berkenaan
f. Ibadah dan pergantungan yang kuat dengan Pencipta

Sebelum isu ini dikupas lebih lanjut, kita tinjau dulu bentuk pertahanan Kota Konstantinapole itu sendiri yang sangat menakjubkan;

Kota ini berbentuk tiga segi. Dua bahagian kota menghadap laut iaitu Selat Bosporus dan Laut Marmara. Bahagian daratan dilingkungi oleh sebuah benteng yang sangat kukuh;

a. Bahagian luar kota dilingkungi oleh sebuah parit besar. Dalamnya 10 meter dan lebarnya 60 meter
b. Ada dua tembok iaitu tembok luar dan tembok dalam. Tembok luar sahaja setinggi 25 kaki dan setebal 10 meter
c. Tembok dalam pula setinggi 40 kaki tinggi dan 15 meter tebal
d. Terdapat menara kawalan sepanjang tembok dalam dengan ketinggian 60 meter!
e. Terdapat 400 batalion tentera terlatih mengawal tembok ini sepanjang masa

Dengan kedudukan pertahanan seperti itu, hampir mustahil untuk tembok ini dicerobohi.

Di bahagian laut pula, terdapat rintangan rantai besi yang kuat diletakkan di Selat Bosporus yang digunakan untuk menghalang kapal-kapal melepasinya.

Konstantinapole telah menjadi ibu kota Empayar Bizantin untuk berkurun-kurun dan dikenali sebagai kota yang paling makmur dan terkaya di Eropah. Ia terletak di pertemuan antara Asia dan Eropah dan Laut Mediterranean dan Laut Hitam. Justeru, ia sangat strategik baik dari segi perdagangan mahupun geo politik.

Sejak Rasulullah s.a.w mengungkapkan bahawa nanti Kota penting ini akhirnya akan jatuh di tangan seorang pemerintah yang terbaik, memimpin tentera yang terbaik sepanjang zaman, telah banyak percubaan dibuat untuk menawan kota ini, namun tidak berjaya. Sahabat seperti Abu Ayub al Ansari juga telah berusaha dan mereka telah mengepung kota ini selama tujuh tahun, tetapi masih gagal.

Hanya 800 tahun selepas sabda Nabi yang Mulia itu, sabda yang menakjubkan ini menjadi kenyataan. Sultan Muhammad bin Murad yang kemudian lebih masyhur dengan gelaran Sultan Muhammad al Fatih telah memulakan pengepungan ke atas Konstantinapole pada hari Khamis, 5 April 1453 dan berjaya membuka kota ini pada 29 Mei 1453, hari tulisan ini dipostkan.

Sungguhpun pengepungan ini berlangsung selama hampir dua bulan sahaja, program penaklukan ini telah berjalan lama!

Ia bermula apabila bapa Sultan Muhammad Al Fatih, Sultan Murad memilih guru-guru yang terpilih untuk mendidik anak raja ini, yang waktu itu, se orang anak yang nakal.

Sejak berumur sembilan tahun, Sultan Muhammad telah mengalami pendidikan disiplin yang ketat. Rasa bebas dan nakal sebagai anak raja yang masih kecil mula berakhir apabila bapa baginda memberikan kebebasan kepada guru-guru beliau untuk membentuk dan mendidik Muhammad.

Rotan turut digunakan oleh gurunya untuk mendisiplinkan anak ini. Dalam satu kejadian, Muhammad telah sengaja dirotan dengan teruknya tanpa sebarang kesalahan yang dilakukan oleh beliau.

Tujuan guru beliau berbuat demikian ialah untuk membentuk perasaan belas kasihan dan sikap adil dan saksama dalam jiwa bakal Sultan ini. Supaya nanti baginda dapat mengambil keputusan berpaksikan keadilan dan memahami perasaan orang-orang yang tidak diperlakukan dengan adil!

Sultan Muhammad dibimbing untuk menghafal al-Qur'an. Dilatih untuk sembahyang malam. Dibentuk menjadi wara' dan zuhud. Diasuh mencintai ilmu dan ulama'. Mempunyai budi pekerti yang baik dan perasaan yang halus. Keunggulan pendidikan keruhanian Sultan Muhammad ternyata apabila baginda akan dilantik menggantikan bapanya secara rasmi sebagai pemerintah Kesultanan Uthmaniah, beliau menangis teresak-esak.

Gurunya lah yang telah mengarahkan beliau menerima tanggungjawab itu atas hujah bahawa seorang berkaliber seperti beliau wajib memikul amanah ummah dan itu jihad dan ibadah yang lebih besar.

Pendidikan Sultan Muhammad di istana baginda hampir komprehensif. Sebagai bakal raja dalam persekitaran Eropah dan pusat perdagangan dan diplomatik, baginda dapat berbahasa lebih dari lima bahasa.

Sudah tentu baginda fasih dalam bahasa Arab.

Baginda juga diajar matapelajaran sejarah, geografi dan astronomi. Pakar ketenteraan juga diundang untuk memberikan pendedahan ketenteraan kepada beliau.

Lama sebelum program pembebasan Konstantinapole dimulakan, Muhammad al-Fateh telah berbincang dengan pakar sejarah dan ketenteraan mengenai sebab-sebab kegagalan ekpedisi penawanan Konstantinapole sebelum ini.

Apa rahsia kekuatan pertahanan kota itu dianalisis. Bagaimanakah caranya untuk mengatasi halangan-halangan itu juga dibincangkan.

Dari perbincangan itu, antara lain mereka mengenal pasti hal berikut;

a. Dinding tembok itu terlalu tebal dan pada waktu itu belum ada teknologi yang boleh meruntuhkannya. Sultan Muhammad telah mengarahkan dicari satu teknologi yang boleh meruntuhkan tembok itu.

Tentera baginda akhirnya berjaya mencipta meriam yang paling canggih dengan bantuan seorang pakar senjata bangsa Hungary yang telah diculik dari kurungan dalam penjara Konstantinapole dengan mengorek lubang bawah tanah yang dalam dan panjang!.

Berat setiap meriam ciptaan baru ini ialah 700 pauns! Ia perlu ditarik oleh 100 ekor kuda dan seratus orang tentera. Bila diletupkan, bunyinya boleh didengar sejauh 13 batu! Setiap tembakannya akan menyebabkan tembok yang kuat berlubang seluas enam kaki. Nah! Benteng besar itu sekarang telah menemui ruasnya.

b. Rantai besi yang kuat yang dirintangi menghalang laluan kapal. Ia menghalang bantuan dan pergerakan melalui laut.

Sultan Muhammad telah mencipta satu plan luar biasa mengatasi halangan ini. Ia adalah antara rekod sejarah yang menakjubkan dari segi kreativiti dan kekuatan keinginan seorang pemimpin. Baginda mengarahkan pembinaan kapal di daratan. Dibuat pada sebelah malam supaya tidak disedari oleh musuh.

Mesti disiapkan dalam masa yang singkat. Kapal ini diluncurkan dari daratan sejauh 5km ke lautan dengan meletakkannya tergelunsur di atas batang-batang kayu yang telah diatur dan telah diminyakkan untuk melicinkan perjalanan kapal-kapal itu.

Pada masa yang telah ditetapkan, kapal-kapal ini dilancarkan dari daratan dan muncul di depan Kota Konstantinapole sebelah lautan dengan melepasi rantai besi yang telah terpasang! Ia memeranjatkan tentera musuh. 400 kapal musuh terbakar dan serangan dari lautan berjalan serentak dengan pengepungan sebelah daratan.

c. Lazimnya bila tentera sampai di pantai menghadap Kota ini, mereka terdedah kepada serangan musuh kerana kawasan yang terbuka dan jika sekiranya satu benteng pertahanan mengelakkan serangan hendak dibina, ia memakan masa selama setahun.

Sultan Muhammad telah mengarahkan benteng pertahanan menghadap tembok kota Konstantinapole itu dibina dalam masa tiga bulan dengan menggunakan segala teknik pembinaan semasa yang canggih.

Benteng Rumeli Hissari dibina di tebing sebelah Eropah, lebih kurang 5 batu dari Kota Konstantinople di mana Selat Bosphorus adalah yang paling sempit. Ia dibina bertentangan dengan Benteng Anadolu Hisar di tebing sebelah Asia yang telah dibina oleh Sultan Bayazid Yildirim dahulu.

Ia memang berjaya disiapkan seperti direncanakan.

Dari mana kekuatan keinginan seorang pemimpin ini diperolehi oleh Sultan Muhammad?

Gurunya bukan sekadar menyuntikkan kekuatan ruhani kepada bakal Sultan in, tetapi juga telah menyuntik sikap terbuka terhadap teknik dan teknologi baru yang diperlukan untuk misi mereka. Mereka juga menyuntik sikap berminda strategik dan kreatif.

Sultan Muhammad dapat menganalisis dengan tepat permasaalahan dan mencari jalan penyelesaian terhadap setiap permasalahan itu secara praktikal sebelum melancarkan misinya.

Tetapi yang paling penting, sejak kecil lagi guru-guru baginda telah membentuk minda baginda untuk merasakan dirinya lah yang disebutkan oleh Rasulullah s.a.w sebagai raja terbaik yang memimpin tentera terbaik yang akan dapat membebaskan Konstantinbapole.

Sasaran, visi dan misi yang jelas, yang disuntikkan ke dalam minda baginda ternyata berkesan. Dari kecil, Sultan Muhammad mengimpikan bagindalah pembebas itu!

Baginda bergerak selari dengan impian ini. Akhirnya, ia adalah sebuah kenyataan.

Dari sudut kepimpinan, bapa baginda seorang yang berpandangan jauh. Sejak umur 14 tahun, Muhammad telah diminta menguruskan empayar dengan alasan, bapanya ingin menumpukan kepada ibadah.

Namun, dalam dua keadaan kritikal, bapa baginda pulang semula untuk memimpin Kerajaan Uthmaniah. Selepas ancaman kritikal itu diatasi, Muhammad diberikan peluang untuk menguruskan semula empayar yang sedang berkembang itu.

Melalui pendedahan berbentuk bimbingan ini, Muhammad terlatih menjadi pemimpin yang berkualiti.

Ditambah, sepanjang hayat baginda, guru-guru baginda yang menjadi rujukan keruhanian dan kebijaksanaan, sentiasa bersama baginda. Hatta, ketika pengepungan kota itu berlangsung, gurunya mengimamkan solat hajat semua tentera Sultan Muhammad.

Melihat 150,000 tentera Islam berbaris rapi untuk bersolat di luar kota itu, cukup untuk menakutkan musuh yang sedang berkawal dalam kota!

Pada hari pembukaan Kota Kontantinapole yang bersejarah itu, Sultan Muhammad bersujud syukur.

Sepanjang kempen, baginda tidak putus-putus mengarahkan tenteranya bertakbir dan melaungkan slogan-slogan bersemangat, termasuk motivasi berasaskan hadis Nabi bahawa Konstantinapole akan dibebaskan oleh tentera yang terbaik dan merekalah tentera terbaik yang dijanjikan oleh Nabi itu.

Pada kali pertama solat Jumaat hendak didirikan di dalam Kota Konstantinapole yang baru sahaja dibebaskan, timbul pertanyaan siapa yang layak menjadi imam solat Jumaat yang pertama itu.

Baginda memerintahkan kesemua tenteranya termasuk dirinya berdiri dan diikuti pertanyaan: "Siapa di antara kita sejak baligh hingga sekarang pernah meninggalkan solat fardhu walau sekali sila duduk!".

Tiada seorang pun yang duduk, kerana tidak seorang pun di antara mereka pernah meninggalkan solat fardhu.

Pertanyaan seterusnya, "Siapa di antara kita yang sejak baligh hingga kini pernah meninggalkan solat sunat rawatib sila duduk!".

Sebahagian daripada tenteranya duduk. Kemudian Baginda bertitah, "Siapa di antara kamu sejak baligh hingga ke saat ini pernah meninggalkan solat tahajjud walaupun satu malam, sila duduk!".

Kali ini semuanya duduk, kecuali baginda sendiri sahaja yang tetap berdiri! Subhaanallah!

Baginda tidak pernah meninggalkan solat fardhu, Solat Sunat Rawatib dan Solat Tahajud sejak baligh. Tepatlah janji Rasulullah s.a.w dan kota ini kemudian bertukar nama kepada Istanbul.

Sekarang, marilah kita mengenali secara ringkas guru-guru yang berjasa besar membentuk Sultan Muhammad.

Pertama, Ahmad 'ibn Ismail Al-Kori:

Guru istimewa ini menunjukkan role model kepada Sultan Muhammad. Seorang yang wara', tidak menyembah Sultan sama seperti orang lain memberikan tunduk hormat, memanggil nama Sultan dan kerabat mereka dengan nama mereka masing-masing tanpa sebarang panggilan gelaran, Bersalaman dengan mereka tanpa mencium tangan mereka. Sepanjang Ramadhan, Sultan Muhammad menghadhiri kelas mentafsir ayat-ayat Al Qur'an yang diadakan di istana baginda selepas solat zuhur, dengan guru-guru yang bersilih ganti.

Ahmad ibn Ismail lah yang mengajarkan Al Qur'an, hukum-hukum agama dan kepatuhan padanya. Ia juga membentuk rasa takwa dalam jiwa Sultan Muhammad dengan berbagai cara, termasuk nasihat-nasihat yang berkaitan dengan tugas pemerintah.

Kedua ialah Sheikh Muhammad bin Hamzah al-Rrouhy, lebih dikenali sebagai Ba'q Shamsuddin. Beliau meninggalkan kesan yang sangat mendalam terhadap keperibadian Sultan Muhammad.

Beliau telah menginspirasikan Sultan MUhammad meningkatn aktiviti dakwah dan keislaman di bawah Empayar Othmaniah sebagai satu cara memperkuatkan empayar tersebut.

Beliaulah yang paling giat meyakinkan Sultan Muhammad bahawa beliau adalah raja terpilih seperti yang dimaksudkan oleh Rasulullah s.a.w dalam sabdanya itu.

Selain mengajarkan teras-teras ilmu Islam, Shamsuddin juga bertanggungjawab mengajar sains, matematik, sejarah, strategi perang, astronomi dan lain-lain.

Beliaulah yang telah merotan Muhammad di masa kecil tanpa sebab. Beliaulah yang mententeramkan Sultan Muhammad yang menangis kerana enggan menjadi raja. Beliaulah yang telah ditanya oleh Sultan Muhammad samada beliau boleh bersara selepas lama memerintah kerana ingin menumpukan kepada ibadah tetapi dijawab, ibadah sebagai Sultan yang adil adalah lebih berharga lagi.

Shamsuddin meletakkan insipirasi dalam dada Sultan, memberikan baginda tujuan dan misi pemerentahan yang jelas dan bersama baginda sehingga cita-cita itu tercapai.

Kerana itu lah, beliau dikenali sebagai Penakluk Ruhani Konstantinapole. Guru yang merancang lahirnya seorang pemimpin dan terukirnya sebuah sejarah. Insan pada sisi lain Sultan Muhammad al-Fatih
Powered By Blogger