Monday, April 27, 2009

Janganlah Ejek Diri Sendiri!


Baru-baru ini sewaktu musim cuti, saya menjamu selera di gerai 'Burger Bundle' di Seksyen7. Sepinggan Nasi Goreng Udang dan Air Bandung Muar berharga RM6.60! Nafas saya turun naik sewaktu membayarnya.. Namun, bukan soal harga yang ingin saya tuliskan di sini. Tapi, ada sesuatu yang lebih menarik untuk tatapan kita kali ini.

Lama menunggu, maka saya alihkan perhatian ke arah TV3 yang sedang menyiarkan sebuah cerita yang amat saya kurang gemar lihat sejak saya kecil lagi. Cerita Pontianak (saya kurang ingat pontianak apa nama ceritanya). Namun, disebabkan lama menunggu tempahan yang tidak siap-siap, maka saya bersama kawan-kawan nonton jugalah ceritanya.

Dalam cerita itu, watak seorang Lebai Tua adalah Heronya. Cerita itu bermula apabila seorang wanita yang dibunuh di kampung itu menjelma menjadi pontianak dan mengamuk di kampung itu.Maka orang ramai bertanya sang Lebai, "Apakah itu sebenarnya?".

Seterusnya, jawapan sang Lebai Tua itu yang menjadi perhatian saya, "Roh perempuan tua itu tidak aman.. maka, rohnya menjelma menjadi pontianak untuk membalas dendam..".

Maka terbahak-bahak sehingga hampir terburailah usus kami mendengarkan hujahan Tok Lebai itu! Kita tahu, Lebai ialah gelaran terhormat yang diberikan oleh penduduk kampung kepada mereka yang tinggi ilmu agamanya. Tapi dapat kita lihat betapa jahilnya lebai yang dipaparkan di TV3 tadi. Walaupun kepalanya ditutupi kopiah, tapi rasanya akal beliau turut tertutup dengan tutupan pemikiran songsang masyarakat yang tidak bertamadun.

Tidak pernah ada satu dalil hadis atau Al-Quran pun yang pernah mengatakan bahawa roh seseorang itu boleh bertukar menjelma menjadi pontianak dan seterusnya pergi menyerang kampung untuk membalas dendam. Hujah apa yang mereka gunakan? Kitab mana yang mereka rujuk? Saya rasa soalan yang paling sesuai ialah, "Bomoh mana kau tanya?". Pemikiran jenis bebal apa ini?

Mungkin akan ada antara kita yang berkata, "kenapa kita perlu sibuk-sibuk, itukan cerita saja..". Saya bukan hendak menyibuk atau buat-buat sibuk dengan hal ini. Rasanya saya sudah cukup sibuk di sini. Tapi, ingin saya ingatkan di sini bahawa orang ramai terutamanya yang bukan Islam turut menonton rancangan-rancangan seperti ini. Sudah tentu akan menimbulkan persoalan di hati mereka tentang ini. Mereka mungkin bertanya adakah Islam ini sebuah agama mistik yang ada mengajar penganutnya bagaimana cara-cara melawan Pontianak atau erti kata lain, 'roh yang tak aman'. Maka di situ salah tanggapan tentang Islam sudah berlaku!

Malahan, cerita Pontianak itu turut menampakkan dan menonjolkan watak Lebai yang sangat dihormati di kalangan masyarakat kita menjadi seperti seorang tua nyanyuk yang berperanan serupa bomoh yang tahu berperang dengan hantu tetapi cetek ilmu agamanya. Pandai sembur ke kanan dan ke kiri untuk menghalau pontianak, tapi bila ditanya tentang asal-usulnya pontianak yang datang membunuh di kampung itu, maka dijawabnya dengan jawapan sasau sedemikian rupa. Generasi muda terpelajar mungkin akan menyangka bahawa inilah wajah sebenar Tok Lebai. Sedangkan kita tahu bahawa Lebai-lebailah antara golongan mulia yang mengembangkan dan mempertahankan institusi Islam di negara kita. Adalah amat menghinakan apabila kita mengambarkan watak Lebai sedemikian rupa.

Kita tahu bahawa dalam menjelaskan tentang soal makhluk halus ini, telah Allah ingatkan pada kita bahawa ia hanyalah syaitan. Dan syaitan itu tugasnya menyesatkan anak Adam. Jadi, mengatakan Pontianak itu asalnya dari roh yang tidak aman seolah-olah seperti menafikan apa yang telah diajar oleh Allah dan KekasihNya, Muhammad SAW. Di situ kita sudah berjaya disesatkan. Ya, itu hanya cerita! Tapi filem kita mencerminkan pemikiran kita. Adalah sangat pelik di zaman moden ini bila kita lihat masih ada antara kita yang berfikiran seperti ini. Seolah-olah seperti semua perkara akan dikaitkan dengan hantu. Sakit perut pun hantu, demam panas pun hantu, hatta tertelan tulang ikan pun dikatanya pelesit yang ganggu.

Bukankah selama ini kita lantang berdemonstrasi membantah apabila orang menghina agama kita yang suci ini? Tetapi mengapa kita mengejek agama kita sendiri? Jadi, meminjam kata-kata Dr Asri bin Zainul Abidin, bekas Mufti Perlis (bukan Wahhabi ya, jangan silap), "Kalau tak suka dihina, janganlah menghina diri sendiri!".

Sunday, April 26, 2009

Saya minta maaf, encik semut..


Kami di kampung Umbai sedang dilanda krisis. Krisis serangan semut! Bunyi nampak pelik, tapi di kebanyakan rumah di Umbai telah ditawan semut.

Penat, sangat penat! Mana tidak, setiap kali kali kami sembur racun serangga, kemudian menyapu bangkai-bangkainya, tidak sampai 2 jam ia datang semula dan kembali memenuhi ruang tamu. Di mana-mana sahaja, hatta di Masjid pun semutlah antara yang 'mengimarahkan' masjid2 menjelang solat jemaah. Untuk makluman, sudah lebih setahun keadaan ini berlaku.

Saya merasakan hal ini ada kena-mengena rapat dengan aras air yang semakin naik (kebetulan kampung umbai memang di tepi laut letaknya). Umbai yang sepanjang saya hidup di dalamnya selama 20 tahun tidak pernah mengalami banjir. Tapi, Allah menetapkan, hujan lebat tempoh hari telah berjaya menyebabkan banjir!

Begini teorinya pada hemat saya. Semut-semut itu yang kebanyakannya merayap-rayap di kebun-kebun terpaksa naik 'beramai-ramai' dan menjadikan rumah orang lain sebagai sarang baru mereka. Jadi, saya tidak salahkan semut dalam hal ini, walaupun lantai teratak buruk saya di Umbai menjadi berhabuk gara-gara semut-semut ini. Saya salahkan diri sendiri dan umat manusia lainnya kerana menjadi punca pemanasan global ini!

Lalu, bila menyembur racun serangga di rumah, maka saya katakan, "maaf encik semut!"

*semut juga makhluk Tuhan.. salah kita kerana mengkhianati amanah Allah untuk mengurus bumi dan hasil mahsulnya dengan baik..Subhanallah, kita ini Khalifah yang khianat rupanya..

Friday, April 24, 2009

ASB? Haram atau Halal?

Baru-baru ini seorang sahabat menghantar komen bertanya saya tentang tentang hukum melabur dalam ASB. Saya ini bukanlah seorang yang arif dalam soal ini. Saya hanya seorang pelajar medic yang lemah lagi jahil ilmunya. Akan tetapi, saya telah membuat rujukan dengan seorang yang dikenali memang pakar dalam bidang ini iatu Ustaz Zaharuddin. Saya sering membaca tulisan-tulisan beliau terutamanya dalam ruangan soal jawab agama dalam Majalah i. Kita tahu, Majlis Fatwa Kebangsaan telah memfatwakan hukumnya harus atas dasar kemaslahatan ummah. Walaubagaimanapun, saya dengan sejujurnya merasa berat hati atas beberapa sebab. Ini kerana saya lebih cenderung kepada pendapat yang mengatakan ianya haram juga atas beberapa sebab.

Terlalu panjang untuk saya 'post' kan di sini. Tetapi saya sediakan link. Saya harap saudara-sausari membaca kedua-dua link ini hingga habis. Sebenarnya tidaklah panjang sangat, cuma kerana ruangan sempit di dalam blog sekangkang kera ini, jadi saya hanya berikan linknya sahaja. Ingat! Baca sampai habis dan nilai ia dengan matang. Sekali lagi saya katakan, baca kedua-duanya sekali.

* teringat hadis Nabi tentang riba' di akhir zaman. Hai.....MasyaALLAH... Saya manusia hina lagi lemah amat terkesan dengannya....

http://faridul.blogspot.com/2006/05/hukum-melabur-dalam-asb-asw-dan.html

http://www.zaharuddin.net/content/view/663/95/

Thursday, April 23, 2009

Sudahlah Kamu.. Baliklah Kamu..


Sudah..

Baliklah..

Masa mu sudah tamat di sini..

Untuk apa kau tangisi ratapi..

Tertutup sudah masa diberi..

Tiada guna kau marahi sesali..


Sudah..

Baliklah..

Penat sudah kau mengharung melawan ombak ini..

Berjuta janji telah kau langar ingkari..

Berjuta hati telah kau tikam hancuri..

Sehingga jadi hatimu kaku mati


Sudah..

Baliklah..

Telah Dia khabarkan padamu dulu..

Telah Dia bisik pada hatimu itu..

Tapi sayang, jauh kau lempar ia ke hulu..

Hingga hatimu jadi ragu-ragu..

Lantas kau tolak tanpa segan-silu..


Sudah..

Baliklah..

Sudah sampai janji TuhanMu..

Sudah sampai ketikanya hari dan waktu..

Untuk pergi jauh dari dunia yang dulu..

Ke dunia baru yang belum tentu hala tujumu


Sudah..

Baliklah..

Pulang ke sisi Tuhan Yang Esa..

Pulang ke Rabbmu Yang Maha Kaya..

Mungkin kau bahagia, mungkin kau sengsara..

Jangan kau tanya pada ku yang hina..

Kerana ku sendiri belum ketemu jawabannya.


Sudah..

Sudahlah..

Sudahlah kamu..

Sunday, April 19, 2009

Retorik Sang Majoriti


“Aiii...cmana nih Pis. Orang aku tinggal 10 org je..satu dah kene kad merah..abih le..” keluh Amin Abu Hassan sewaktu bermain PES (sejenis game soccer..rakan-rakan yg lelaki mungkin tahu). Peperiksaan semester sudah tamat maka kami punyai banyak masa santai bersama rakan-rakan (Itupun selepas seminggu study week yang penuh dengan tekanan dan masing-masing ketika itu menunjukkan wajah kelat!). Maka, tidak mengejutkan, seperti biasa, Amin dibelasah 6-1 oleh saya!

Majoriti dan minoriti.. Benarkah majoriti sentiasa mengatasi minoriti? Dalam kes ini, saya adalah majoriti dengan jumlah pemain 11 orang. Amin adalah minoriti dengan pemain 10 orang (satu dibuang padang kerana bermain secara kasar..dalam bahasa kasarnya main kotor!). Apakah kerana saya majoriti maka saya lebih kuat dan lebih mudah untuk menang?

Kebanyakan insan dalam menilai kebenaran sesuatu perjuangan seringkali tersalah, tersilap tafsir dalam hal ini. Mereka lebih suka menilai kebenaran serta kekuatan sesuatu gerakan itu melalui jumlah pengikutnya. “Dia ramai, maka kumpulannya betul,”kata mereka. “Dia kurang penyokongnya, mesti orng tak suka dengan dia..Entah apa agaknya yang dibawany..,”kata mereka lagi.

Mereka lupa barangkali! Sesungguhnya jika kita selak helaian sejarah, kita ikuti kisah-kisah perjuangan para pencinta kebenaran, sudah pasti kita bisa ketemu satu fakta kebenaran. Iatu, kebenaran selalu diperjuangkan oleh kelompok minoriti.

Ya, itu sudah tentu! Jangan lari dari fakta! Kelompok Nabi Nuh ialah minoriti. Perjuangan awal Junjungan Mulia kita ialah minoriti. Ikhwanul Muslimin juga adalah minoriti. Kitapun, jika mahu memperjuangkan Islam di zaman sekarang, maka perlu bersedia dengan realiti bahawa kita ialah minoriti. Maka, sesatkah kita kerana kita minoriti? Atau benar teluskah mereka, kerana mereka majoriti?

Junjungan Besar Muhammad SAW pernah bersabda:

Diperlihatkan kepadaku umat-umat manusia. Maka aku dapati ada Nabi yang mempunyai seorang pengikut. Ada pula Nabi yang mempunyai 2 orang pengikut. Ada pula yang mempunyai beberapa orang pengikut. Ada juga Nabi yang tidak mempunyai sebarang pengikut..(HR Bukhari dan Muslim)

Kerana itu kita perlu faham di sini bahawasanya kebenaran itu di nilai dengan fakta bukan jumlah pengikut, peminat, atau jumlah undian SMS yang kita terima. Kebenaran dinilai dengan neraca Al Quran serta Hadis Junjungan, bukan emosi bebal melulu sesetengah pihak. Maka disitu kita jangan disesatkan wahai sahabat-sahabat sekalian!

Perlu diingat juga, bahawa minoriti itulah selalunya mengatasi majoriti. Tidak perlu pergi jauh. Rasanya di sekolah kita sudah biasa diceritakan tentang kisah Badar Kubra, kisah Rom dan tentera Umar RA, dan banyak lagi yang boleh saya senaraipanjangkan di sini. Lihat bagaimana minoriti telah berjaya mengalahkan dan menghinakan majoriti! Maka, majoriti atau minoriti bukan soalnya di sini. Soalnya di sini ialah, kita sanggup atau tidak?

Sesungguhnya, Allah tidak melihat berapa ramai penyokong atau pengikut berjaya kita kumpulkan. Yang dinilai Allah ialah sejauh mana kita Istiqamah dalam gerakan dan sejauh mana kita laksanakannya ikut cari kekasihNya Muhammad SAW. Menang atau kalah, belakang kiralah..

Oleh itu, jangan sama sekali kita kecewa lantas putus asa di tengah jalan hanya kerana jumlah yang bersama kita sedikit. Yang sedikit itulah yang kuat jika disertakan dengan iman dan semangat. Yang banyak itulah yang ‘goblok’ kalau niat perjuangannya untuk perut kroni dan anak pinak.

Maka sekarang, majoriti versus minoriti, siapa pemenang? Saya biarkannya kepada kalian untuk fikirkan sementara saya menyambung tidur semalam yang terganggu gara-gara sorakan kemenangan Chelsea mengalahkan Arsenal! (maaf ya syidiq..tahun depan cuba lagi..)

Baguih!

Saya baru-baru ini berkesempatan melawat salah sebuah laman blog yang saya kira agak menarik.
Penulisnya merupakan bekas BADAR di MRSM Taiping. Sangat menarik dan bagus untuk dikongsikan (barangkali orang utara akan cakap 'baguih!') .Saya syorkan kalian membacanya. Ini alamatnya:.www.elbaeraqy.wordpress.com.

Saturday, April 18, 2009

Poligami - Pro Islam atau Barat

dipetik dari drmaza.com

Saya mengambil masa yang panjang berfikir tentang tajuk poligami untuk ditulis di ruangan ini. Pasti lepas ini, mungkin ada wanita pembaca tulisan saya sejak sekian lama akan merajuk atau kurang senang. Pohon saya ingin menyentuh juga tajuk ini bagi berbicara dengan lojik feminis sekularis yang cuba menilai isu ini dengan mentaliti Barat.

Secara umumnya, masyarakat ‘Barat’ ini menganggap seseorang lelaki memiliki perempuan simpanan atau ‘mistress’ adalah perkara biasa. Bahkan menjadi trend di Barat ini untuk pasangan hidup bagaikan suami isteri tanpa perkahwinan yang diiktiraf. Bertukar-tukar atau menambah bilangan ‘mistress’ bukanlah satu keganjilan.

Namun pemikiran dan undang-undang mereka tidak menerima seseorang lelaki memiliki lebih dari satu isteri atau berpoligami. Poligami bagi mereka mempunyai unsur penghinaan terhadap wanita, atau unsur kerakusan nafsu lelaki. Sementara perempuan simpanan atau seks dengan wanita tanpa perkahwinan bukan satu penghinaan atau kerakusan nafsu.

Eksploitasi setiap inci alur tubuh wanita dalam media mereka juga adalah bagi mereka lambang kebebasan dan kemerdekaan wanita. Adapun wanita muslimah yang menutup auratnya dengan rela adalah lambang kezaliman atau penghalangan hak wanita.

Malang sekali, aliran ‘liberal melulu’ yang menghantui sesetengah pihak, termasuk di negara kita yang menonjolkan diri sebagai pejuang hak wanita, menelan cara fikir Barat ini lalu menjadikan isu poligami dan menutup aurat sebagai sasaran.

Berbalik kepada isu poligami, perkara yang selalu dibangkitkan adalah bahawa ia menafikan hak wanita atau merendahkan wanita. Padahal beza antara seorang isteri kedua, atau ketiga, atau keempat dengan seorang wanita simpanan begitu besar.

Selain dari soal haram dan halal yang dilihat pada neraca agama, seorang yang berstatus isteri mempunyai hak ke atas suaminya; hak nafkah, hak keturunan anak, hak keadilan pembahagian hari dan harta, hak dihormati dan disayangi, hak untuk tidak dipersiakan apabila jemu dan berbagai lagi.

Sementara seorang ‘mistress’ yang ‘dijamah’ dalam senyap atau terang, boleh ditinggalkan tanpa pesan apabila jemu dan diratah apabila bernafsu, tiada apa hak yang boleh dituntut atas kekudusan perkahwinan.

Mereka memandang sinis kepada poligami tapi menganggap fonomena biasa bagi perempuan simpanan. Poligami bagi mereka membawa ketidakadilan antara wanita. Mereka patut ditanya; apakah memiliki perempuan simpanan itu adil bagi wanita? Begitu juga, apakah hidup ‘berumahtangga’ tanpa kahwin itu penghormatan bagi wanita?

Ramai masyarakat Barat ini menyangka bahawa hanya Islam sahaja yang mengizinkan poligami. Padahal asalnya, seseorang lelaki Kristian diizinkan berkahwin sebanyak mana bilangan isteri yang dia suka, kerana Bible tidak menghadkan bilangan isteri. Hanya beberapa kurun kebalakangan ini gereja menghadkan bilangan isteri kepada satu.

Poligami juga diizinkan dalam Yahudi. Ini berdasarkan undang-undang Talmud, di mana Nabi Ibrahim isterinya tiga, Nabi Sulaiman isterinya seratus. Perlaksanaan poligami berterusan dalam Yahudi sehinggalah Rabai Gersom Ben Yehudah (960-1030M) mengeluarkan perintah menentangnya. Namun masyarakat Yahudi Sephardic yang hidup di kalangan umat Islam terus mengamalkannya sehingga tahun 1950. Namun di Barat, trend hidup pragmatik yang mereka cipta menggantikan agama.

Islam apabila membenarkan poligami, seperti biasa menetapkan dalam setiap perkara peraturan dan disiplinnya. Soal berlaku baik dan adil kepada isteri, bukan sahaja diwajibkan untuk mereka yang berpoligami, bahkan kepada sesiapa yang bermonogami juga wajib melakukan kebaikan dan keadilan kepada isterinya.

Jika ada kecuaian mereka yang berpoligami bukan bererti poligami itu buruk, tetapi sikap pelaksananya itu yang salah. Betapa banyak mereka yang monogami yang menzalimi isteri, tidak bertanggungjawab terhadap keluarga dan berbagai lagi. Apakah kerana tindakan salah mereka itu, maka monogami juga patut dilarang? Inilah mentaliti kelompok liberal yang tidak terurus pemikiran mereka.

Ramai isteri yang menghantar email kepada saya bahawa mereka tidak dapat terima suami mereka berpoligami. Ya, itu adalah perasaan yang dikongsi oleh kebanyakan wanita. Apatahlagi jika suami mereka itu tidak menunaikan tanggungjawab yang baik selama belum berpoligami pun.

Apabila Allah dan rasulNya mengizinkan poligami, pasti ia mempunyai hikmah yang tersendiri. Poligami adalah ubat yang dimakan di waktu perlu dan jangan memakannya jika anda tidak memerlukan. Poligami dalam sejarahnya, menyelamatkan wanita-wanita yang kehilangan suami seperti isteri tentera yang terkorban kerana umat. Mungkin mereka masih muda dan perlukan perlindungan. Jika diharapkan orang bujang, biasanya mereka mencari pasangan dara. Siapa yang akan mengambil tanggungjawab ini? Biasanya lelaki yang stabil dan matang mampu mengendalikan mereka. Mereka ini kebanyakan sudah berkahwin.

Saya lihat dalam negara kita, poligami dapat membantu wanita yang baru menganut Islam yang kadang-kala tiada orang bujang yang dapat menjaga mereka dengan baik.

Wanita sama seperti lelaki terdedah kepada sakit dan ketidakmampuan seks. Jika suami tidak mampu dari segi seks, isteri boleh menuntut dipisahkan perkahwinan. Jika isteri tidak bermampuan dari segi seks, amat tidak wajar wanita yang lemah dan sakit ditinggalkan begitu. Namun, dalam masa yang sama naluri suami juga hendaklah diraikan. Poligami boleh menyelesaikannya.

Begitu juga jika isteri tidak mampu melahirkan zuriat, apakah patut suami menceraikannya? Poligami sebagai penyelesaian keinginan kepada zuriat keturunan. Maka apabila Islam membenarkan poligami, ia adalah ubat.

Barangkali juga ada isteri yang tidak terdaya melayan kehendak suami yang ‘tinggi’ dalam seks. Poligami juga jalan keluar dari beban ini. Kadang-kala ada lelaki yang berwibawa yang memampukan dia memiliki lebih dari seorang isteri yang diberi keadilan yang rata.

Maka dalam sejarah Islam, poligami tokoh-tokoh telah membuahkan kebaikan ilmu, keluasan keluarga dan keturunan. Berbagai lagi hikmah poligami yang boleh disenarai panjang. Malang sekali, apabila golongan Pro-Barat atau ‘Islam-Liberal’ ini menyatakan tujuan mereka menentang pologami itu kerana hendak membela wanita, apakah pada mereka selain isteri pertama itu bukan wanita? Wanita itu, bukan isteri pertama sahaja, tetapi setiap yang berjantina wanita termasuk yang akan menjadi isteri kedua dan seterusnya. Perasaan dan kehendak mereka juga adalah tuntutan dan hak wanita yang perlu dihormati.

Pernah saya sebutkan bahawa kadang-kala hukum-hakam Islam boleh diumpamakan sebuah kedai yang menyediakan berbagai jenis ubat untuk semua jenis penyakit. Jangan kerana ada ubat yang dijual itu tidak bersesuaian dengan penyakit kita maka kita menganggap ubat tersebut mesti dihapuskan. Poligami adalah salah satu ubat bagi penyakit yang bersesuaian dengannya. Menghalang zina dan membantu wanita. Bagi yang tidak memerlukan ubat ini dia tidak disuruh meminumnya.

Poligami juga adalah jalan keluar kepada kehendak cinta di luar kawalan. Di zaman ini, untuk seseorang lelaki mendapatkan wanita secara haram, amatlah mudah. Namun jika ada lelaki yang ingin berkahwin sekalipun atas poligami yang membawanya menanggung berbagai risiko, saya rasa dia patut dihormati dan ada nilai tanggungjawab terhadap wanita.

Cuma malangnya, poligami ini jika digunakan oleh lelaki yang tidak bertanggungjawab sehingga mencemarkan institusi berkenaan. Apatahlagi golongan anti poligami ini hanya menonjolkan contoh-contoh buruk poligami dan melupai contoh-contoh baik yang banyak. Lelaki-lelaki yang baik dan berkemampuan patut tampil membawa contoh yang baik dalam perlaksanaan poligami. Sementara yang tidak berkemampuan dan ‘lemah’ kewibawaannya untuk adil, maka janganlah memakan ubat yang tidak diperuntukkan untuk anda.

Thursday, April 16, 2009

Makluman

*pihak amr-din.blogspot.com amat mengalu-alukan sebarang komen atau kritikan. Kami amat menghargai sokongan dan galakan saudara-saudari dalam pergerakan blog ini. Buat masa ini saudara habibun najar dan rakan-rakan sedang bercuti. Kami akan memberi maklum balas tentang komen-komen kalian secepat mungkin. Wallahua'lam.

1 comments:

Anonymous said...

saya rasa saya hanyalah manusia kerdil yg x lyak nak memberi komen dlm blog ini..

tpi sya tertarik blamane isu politik diketengahkan..

entahlah..
saya sebagai rkyat di malaysia ini berasa keliru dgn ape yg terjadi dgn politik negara kita sekarang ni..

sumenye x kna di mata saya.. mne satu yg btul dan tidak x dpat nak bezakan.. tiap2 hari keluar brita tntang org politik terlibat dalam rasuah.. x kira sme ade dri parti pembangkang mahupun parti kerajaan..

sume ini menggugat kepercayaan saya sbgi rkyat yg mahukan pemimpin yg betul2 bersih dri segala perkara yg mengundang dosa..

pemimpin yg disangka baek slama ni tiba2 tercalar maruahnye dgn cerita yg dia terbabit dgn skandal mahupun rasuah.. ape nak jadi dgn pmimpin kita sekarang.. manakah pemipn yg betul2 diharapkan oleh rkyat.. yg dpat membela nasib rakyat..

kita x ptut ckap yg kte x harus ambil thu tntg politik negara kita krana politik inilah yg menntukan keamanan & masa depan negara.. jika sekrg kita dipimpin oleh golongan politik yg x berlndaskan hkum agama & membuat dosa sesuka hati.. ape akn jadi pada negara & rakyat pada masa depan..

harapan saya akan lahirlah sorang pemimpin yg dpat membimbing rkyat ke jln yg diredhai Allah satu hari nanti.. InsyaAllah..


Sunday, April 12, 2009

Saudari mgeneration bertanya:

aku ada satu persoalan sebenarnya..
apa hukum menonton wayang di panggung wayang?
if x salah haram hukumnya..

klau xslh aku..
tmpt tu dianggap menimbulkan fitnah..
sbb suasana yg gelap dan mostly akan ada berlakunya maksiat dlm tu eg couple yg berpgg tgn etc. kita seolah-olah merelakan n merestui perbuatan mereka klau kita sama2 join tgk wayang tu. n aku rsa bg seorang muslimah terutamanya,msk panggung wyg is not proper kot..
my opinion only..
plus penah gk timbul isu ni kt surau..n most of them say that tgk wyg is haram.

amr-din
menjawab:

Setiap sesuatu itu asal hukumnya halal sehinggalah datang dalil yang sahih jelas mengatakan ianya haram.

Saya secara jelasnya berpendapat bahawa ianya tidak haram. Tetapi ianya menjadi haram bagi sesetengah individu yang pergi ke sana bersama "cewek" masing-masing. Bukan untuk menonton "wayang" tapi mereka ke sana untuk buat wayang. Maka ianya jatuh haram.
Adalah tidak wajar kita mengharamkan menonton wayang hanya kerana salah guna sesetengah pihak. Kerana niat kotor "pasangan2 bahagia" ini, maka mereka yang datang dengan niat untuk membawa keluarga bergembira menonton kartun di wayang pun terkesan.

Dan, saya juga berpendapat bahawa pergi menontonnya adalah tidak sama dengan kita menyokong perbuatan "goblok" sesetengah pasangan Melayu yang mengaku umat Muhammad tapi berperangai macam Bani Israel. Pergi ke dataran Cendikia (DC) misalnya, tidaklah bermaksud kita merelakan perbuatan berdua-duaan merpati-merpati dua sejoli yang barangkali lupa halal haramnya.

Ini sama sekali berbeda dengan perbuatan pergi ke kelab-kelab malam. Ini kerana kita sedia sudah maklum bahawa kelab malam memang tempat tari-tarian lelaki dan perempuan tanpa batas. Jadi, pergi ke sana bermaksud kita sengaja "cari penyakit". Sedang bagi panggung wayang, ianya tempat bagi seisi keluarga beristirehat dan "relax" sebentar menontong tayangan kegemaran mereka. Hanya segelintir orang saja yang menjadikan ia tempat melayan nafsu syaitan masing-masing.

Malah, adakah dapat kita pastikan bahawa memang ada perbuatan seperti itu berlaku sewaktu kita sedang menonton wayang tersebut? Saya tidak pernah menghadapi keadaan seperti itu sewaktu menonton wayang. Saya tidak tahu bagaimana dengan saudari. Tapi, saya pernah mengalami pengalaman memualkan dan nyaris-nyaris saya muntah ini sewaktu menaiki bas dari Melaka ke ShAH aLAM. Orang seperti ini, di mana-mana pun mereka tergamak melakukannya.

Akan tetapi, saya lebih bersetuju jika ianya diperbaiki dari segi sistem pengurusannya. Cadangan saya ialah diasinngkan tempat duduk lelaki dan wanita di panggung wayang itu. Atau disediakan panggung wayang khusus untuk wanita atau lelaki. Cerita yang ditonton itu juga perlu dipastikan bebas dari unsur syirik dan maksiat. Ini tugas Badan Penapis Film Malaysia. Tanya mereka. Saya pun pelik dengan kriteria apa mereka gunakan untuk menapis sesuatu filem.

Ingat, kita tidak boleh sama sekali dengan mudah mengharamkan itu dan ini, nanti orang mengatakan Islam itu sempit. Tapi, sediakan alternatifnya. Bahawasanya di dunia ini, terlalu banyak perkara yang dihalalkan Allah berbanding perkara yang diharamkan. Berlapang dadalah kerana sesungguhnya Islam itu syumul, ringkas dan mudah. Wallahua'lam.

*saya insan biasa, andai tersalah tersilap tolong perbetulkan*

Saturday, April 11, 2009

Tahniah dan Takziah buat Kepimpinan Baru.

Di akhir sesi petang tadi, saudara Eusoffee telah mengumumkan kepimpinan baru bagi Exco Modal Insan 09/10. Dan ini sama sekali tidak mengejutkan apabila Saudara Suhairi telah dipilih bagi meneraju gerakan ini untuk sesi akan datang. Beliau memang diyakini punyai kredibiliti yang mantap buat memimpin salah satu dari Exco yang penting ini. Malah,beliau selaku Ketua Projek bagi program Daurah ptg tadi, telah mempamer sikap rajin dan komited beliau dalam merancang program ini.

Tahniah kepada beliau kerana beliau bakal memimpin gerakan ini yang punyai ramai ahli-ahli yang komited bagi tugas masing-masing dan sedia menyokong membantu beliau bagi tugas-tugas menguruskan Exco ini.

Takziah kepada beliau kerana tanggungjawab berat yang telah dipikulkan ke atas bahu beliau. Untuk beliau, suka saya mengigatkan tentang Firman Allah SWT:

"Wahai orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati Allah dan Rasul dan kamu mengkhianati amanah-amanah kamu sedang kamu mengetahuinya" (Al Anfal:27)

Bahawasanya ini amanah penuh tanggungjawab buat saudara. Laksanakan dengan baik mengikut apa yang diperintahkan Allah. Jalankanlah ia dengan penuh tawaduk dan rasa rendah diri nescaya Allah pasti membantu saudara. Kami semua sedia membantu menyokong saudara dengan sepenuh tenaga dan percayalah, kejayaan dakwah itu bukan pada bilangan yang mengikuti tapi sejauh mana ianya berlandaskan perintah Yang Maha Esa dan Sunnah Rasul Junjungan.

Buat rakan-rakan dalam Exco ini, taatilah beliau dan bantulah beliau dalam memikul tanggungjawab besar ini. Patuhlah pada apa yang baik. Tegurlah pada apa yang perlu kita tegurkan. Sesungguhnya kehancuran pemimpin ialah bilamana penasihat-penasihatnya terdiri daripada kaki-kaki ampu dan juak-juak yang hanya mendendangkan yang indah-indah sahaja ketelinga pemimpinnya. Hebatnya pemimpin itu bilamana dia dikelilingi penasihat-penasihat yang ikhlas membantu serta menasihati dia ke jalan Allah.

Selamat bertugas Saudara Suhairi! Laksanakan ini dengan amanah dan insyaAllah, saudara akan mendapati diri saudara sebagai insan yang bakal beroleh naungan arasy Allah pada hari tiada naungan selain dari naungan Allah!

Allahuakbar! Allahuakbar! Allahuakbar!

Daurah Exco Modal Insan

Dari 9 pagi hingga 6 ptg saya bersama-sama dengan sesi Daurah Exco Modal Insan Fakulti Perubatan. Ini kali pertama program mantap ini dilaksanakan.

Hasilnya sangat berguna buat rakan-rakan dari Exco Modal Insan, buat menghadapi sesi 09/10 akan datang.

Banyak resolusi yang diberi dan diputuskan. Saya sendiri menyertai Lajnah Tarbiyyah bagi sesi ini. Perbincangan diketuai saudara Azmi lebih banyak berkisar mengenai strategi Tarbiyyah seterusnya terutama bagi sesi Klinikal di Selayang. Kami dimaklumkan tadi bahawa situasi di Hospital Selayang jauh berbeza dari di Shah Alam. Maka stategi dan pendekatan berbeza perlu digunapakai untuk perjalanan Tarbiyyah yang lebih tersusun.

Kami turut dijamu dengan Mi Hoon dan Nasi berlauk Ayam Sambal!

Wednesday, April 8, 2009

BEBANAN INI BERAKHIR JUGA!!

Barangkali selepas jam 1 tgh hari tadi, ramai sahabat-sahabat menghembus nafas dengan kelegaan maksima. Manakan tidak, ES (End Semester Exam) telah berakhir tengah hari tadi!!

Dan, baru sekarang saya berpeluang untuk menulis di sini. Apapun, Alhamdulillah.
Kita semua telah sedaya upaya, bermati-matian menghadapi ini dan insyaALLAH, pertolongan ALLAH akan bersama kita!!!
Powered By Blogger