Saturday, April 11, 2009

Tahniah dan Takziah buat Kepimpinan Baru.

Di akhir sesi petang tadi, saudara Eusoffee telah mengumumkan kepimpinan baru bagi Exco Modal Insan 09/10. Dan ini sama sekali tidak mengejutkan apabila Saudara Suhairi telah dipilih bagi meneraju gerakan ini untuk sesi akan datang. Beliau memang diyakini punyai kredibiliti yang mantap buat memimpin salah satu dari Exco yang penting ini. Malah,beliau selaku Ketua Projek bagi program Daurah ptg tadi, telah mempamer sikap rajin dan komited beliau dalam merancang program ini.

Tahniah kepada beliau kerana beliau bakal memimpin gerakan ini yang punyai ramai ahli-ahli yang komited bagi tugas masing-masing dan sedia menyokong membantu beliau bagi tugas-tugas menguruskan Exco ini.

Takziah kepada beliau kerana tanggungjawab berat yang telah dipikulkan ke atas bahu beliau. Untuk beliau, suka saya mengigatkan tentang Firman Allah SWT:

"Wahai orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati Allah dan Rasul dan kamu mengkhianati amanah-amanah kamu sedang kamu mengetahuinya" (Al Anfal:27)

Bahawasanya ini amanah penuh tanggungjawab buat saudara. Laksanakan dengan baik mengikut apa yang diperintahkan Allah. Jalankanlah ia dengan penuh tawaduk dan rasa rendah diri nescaya Allah pasti membantu saudara. Kami semua sedia membantu menyokong saudara dengan sepenuh tenaga dan percayalah, kejayaan dakwah itu bukan pada bilangan yang mengikuti tapi sejauh mana ianya berlandaskan perintah Yang Maha Esa dan Sunnah Rasul Junjungan.

Buat rakan-rakan dalam Exco ini, taatilah beliau dan bantulah beliau dalam memikul tanggungjawab besar ini. Patuhlah pada apa yang baik. Tegurlah pada apa yang perlu kita tegurkan. Sesungguhnya kehancuran pemimpin ialah bilamana penasihat-penasihatnya terdiri daripada kaki-kaki ampu dan juak-juak yang hanya mendendangkan yang indah-indah sahaja ketelinga pemimpinnya. Hebatnya pemimpin itu bilamana dia dikelilingi penasihat-penasihat yang ikhlas membantu serta menasihati dia ke jalan Allah.

Selamat bertugas Saudara Suhairi! Laksanakan ini dengan amanah dan insyaAllah, saudara akan mendapati diri saudara sebagai insan yang bakal beroleh naungan arasy Allah pada hari tiada naungan selain dari naungan Allah!

Allahuakbar! Allahuakbar! Allahuakbar!

No comments:

Powered By Blogger