Sejak akhir-akhir ini, sering kali dibicarakan soal peranan ulama dan professional. Saya kurang pasti tapi barangkali ini ada kena mengena rapat dengan Muktamar PAS yang bakal menjelang.
Secara peribadi, saya agak terkejut bilamana secara tiba-tiba akhbar-akhbar arus perdana menjadi begitu berminat untuk membuat liputan tentang Muktamar Parti PAS itu. Mungkin ini disebabkan pengaruh PAS yang semakin berpengaruh dalam mencorakkan suasana politik di Malaysia.
Tapi, mengapa isu ini perlu digembar-gemburkan? Ini satu kehairanan kerana pemecahan ulama dan professional tiada tempat langsung dalam prinsip-prinsip kesempurnaan Islam.
Kemudian saya ingin bertanya lagi. Apa bezanya Ulama dan Professional? Di zaman-zaman kegemilangan Islam sebelum ini, adalah amat jelas untuk kita perhatikan bahawa hubungan yang rapat antara golongan-golongan agamawan dan sarjana-sarjana silam banyak membantu mengekalkan keutuhan empayar ketika itu.
Malah, professional pada zaman itu bukan hanya pakar dalam bidang kajian mereka sahaja, malah mereka turut terkenal sebagai antara individu yang pakar dalam bidang agama. Ulama-ulama mereka juga mahir dalam ilmu falak dan astronomi.
Pengasingan antara professional dan ulama ini sebenarnya adalah salah satu manifestasi dari prinsip sekular yang mengasingkan agama dari keperluan duniawi. Bagi para pemuja ideology sekular, agama tidak ada tempat langsung dalam aspek nilai-nilai kehidupan. Agama hanya candu bagi mereka-mereka yang putus asa dengan suasana dunia yang semakin mencabar.
Agama hanya menyusahkan mereka dengan pelbagai hukum-hakam yang mereka kira hanya menyekat kebebasan hidup bersosial . Itulah sebenarnya berlaku apabila status Turki ditukar dari negara yang mengamalkan system khilafah berteraskan Islam kepada Republik Sekular yang berkiblatkan Barat. Mustafa Kamal Attaturk dengan bantuan British dan kuasa-kuasa besar lain telah berjaya mempengaruhi rakyat-rakyat Turki untuk menolak campur tangan Islam dalam aspek pemerintahan, kemasyarakatan, dan social hingga pada zaman itu, system khilafah dianggap oleh kebanyakan rakyat sebagai satu bentuk pemerintahan ala ‘kuku besi’. Di akhirnya, mereka sendiri yang menyesal dengan keputusan mereka.
Ulama dan professional tidak sepatutnya dipisahkan. Kedua-dua golongan inilah yang sepatutnya menjadi tonggak akar dalam memastikan kestabilan negara. Professional merancang pembangunan negara dengan ilmu mereka manakala ulama bertanggungjawab untuk memandu pelaksanaan pembangunan agar selari dengan Islam. Islam itu fitrah jadi apabila pembangunan tidak selari dengan fitrah maka pembangunan itu akan gagal melahirkan manusia yang benar-benar berjiwa insan.
Jika individu professional itu punyai asas agama yang kukuh serta fikrah perjuangan yang berlandaskan Islam, maka adalah tidak menjadi kesalahan kepada mereka untuk menjadi pemimpin. Adakah hanya kerana seseorang itu tidak punya latar belakang dari Al-Azhaar atau tidak pernah bersekolah pondok, maka itu bermakna mereka tidak punya kapasiti untuk memimpin kesatuan negara Islam? Bukankah dalam Islam, adanya Majlis Syura yang terdiri daripada alim ulamak yang akan menjadi ‘check and balance’ bagi pemerintah?
Ulama dan professional, kedua-duanya adalah golongan yang ALLAH berikan nikmat ilmu dan akal fikiran yang cerdas buat memimpin umat yang semakin ketandusan nilai-nilai insaniah. Seharusnya kedua-dua golongan ini tidak diasing atau dibezakan antara satu sama lain. Perlu ada satu kesepakatan dan persefahaman yang harus dikukuhkan lagi jalinannya. Janganlah kerana termakan dengan fitnah sesetengah golongan yang memang selesa melihat professional dan ulama berbalah, kalian lupakan dan biarkan umat ini terkontang-kanting melihat kalian saling menegakkan benang yang basah.
Pihak media juga tidak seharusnya menjadi punca penyebaran bibit-bibit perpecahan ini. Cukuplah dengan gossip-gosip melampau kalian dalam bidang hiburan. Janganlah kalian sebarkan lagi budaya tidak sihat seperti ini. Seronok ke sebarkan cerita orang lain? Seronok? Banyak ke pembaca yang dapat kalian kumpulkan? Banyaklah ye keuntungan yang kalian dapat, betul?
*kawe sangat kecewa dengan media di Malaysia..sangat-sangat kecewa...
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment